MASIH menaruh harapan, pelakon Farid Kamil sanggup berbuat apa sahaja demi mempertahankan kebahagian keluarga kecilnya dengan aktres, Diana Danielle.
Farid atau nama sebenar Farid Kamil Zahari, 43, berharap dapat mengembalikan semula kepercayaan isterinya serta dua permata hati mereka.
“Saya sayangkan isteri dan anak-anak sampai sekarang.
“Saya sanggup buat apa sahaja demi memenangi hati mereka. Itulah maksud keluarga bagi saya,” katanya ketika diundang sebuah program audio siar atau podcast.
Pada masa sama, pelakon filem Anwar: The Untold Story itu tidak ketinggalan menitipkan pesanan buat anak-anaknya supaya jangan meninggalkan solat.
Katanya, rukun Islam kedua itu perlu dipatuhi agar kehidupan diberkati Allah serta dipermudahkan urusan sehari-hari.
“Baba (panggilan bapa) nak cakap dekat Muhammad dan Aurora, baba sayang anak-anak baba.
“Jangan tinggal sembahyang, ingat sembahyang selalu.
“Jalani kehidupan kalian dengan penuh ilmu agama di dada, barulah kalian berjalan dengan selamat dalam hidup dengan penuh fana,” ujarnya.
Pada Isnin lalu isterinya membuat kejutan sebaik mengumumkan bakal memfailkan permohonan cerai buat kali kedua, sekali gus mencetuskan tanda tanya ramai.
Begitupun, Farid juga pengarah filem mendakwa kemelut dalam sesebuah perkahwinan adalah normal tetapi Diana memberi balasan sudah memintanya berpindah kerana mereka mungkin bakal bercerai lagi.
Terdahulu, sekitar Ogos lalu mereka rujuk semula ketika dalam tempoh iddah selepas bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor menerusi Google Meet pada 10 Ogos 2023 selepas 11 tahun berkahwin.
Hasil perkahwinan itu, pasangan terbabit dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9. – HIBGLAM