SAYA benci mulut orang terpaling tahu semua benda.”
Demikian kata pelakon Aprena Manrose yang terkesan dengan luahan kecewa aktres Janna Nick berikutan sering diasak pertanyaan mengenai zuriat kerana pernah melalui situasi serupa.
Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 31, turut menyelar sikap segelintir masyarakat yang tidak tahu menjaga adab dan sensitiviti.
Saya faham bagaimana Janna rasa sebab saya sendiri lapan tahun bertahan dengan mulut orang.
“Sakitnya hati hanya Allah sahaja yang tahu,” katanya dalam hantaran InstaStory.
Dalam masa sama, adik kepada pelakon Oktovia Manrose itu memaklumkan dia dan suami, Mohd. Afiq Hazman sudah berusaha mendapatkan cahata mata tetapi belum diberikan rezeki.
Ingat saya dan suami tidak mahu anak ke? Ingat kami tiada usaha?
“Itu semua kerja Tuhan, tolong jangan tanya. Saya baran dengan perkara begini,” tegasnya lagi.
Hari ini, Janna tidak mampu mengawal emosi sehingga menangis teresak-esak meminta khalayak berhenti bertanyakan perihal anak.
Aprena dan Afiq yang mendirikan rumah tangga pada 2016 pernah melakukan pelbagai ikhtiar untuk mendapatkan nak termasuk proses rawatan kesuburan in-vitro (IVF) pada 2022.
Namun, setakat ini rezeki belum berpihak kepada pelakon drama Hatimu Sedingin Salju itu. – HIBGLAM