‘Jaga kebajikan pekerja, mereka ‘aset’ syarikat’

MENYIFATKAN pekerja sebagai nadi perniagaan, penyanyi Tomok meletakkan kebajikan kakitangan dalam senarai penting untuk diberi perhatian sejak terbabit dalam bidang jualan makanan dan minuman (F&B) tujuh tahun lalu.

Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 40, berkata, persekitaran serta suasana kerja yang baik bermula daripada inisiatif majikan sekali gus mendorong petugas untuk bekerja dengan lebih bersemangat.

“Walaupun syarikat diuruskan isteri, saya tetap membantu kerja pentadbiran terutama hal ehwal pekerja dan pengurusan untuk melancarkan perniagaan.

“Setakat ini saya membuka lima outlet F&B membabitkan bisnes minuman berasaskan teh serta makanan popular Sepanyol dan Portugal iaitu Churros.

“Tanggungjawab majikan adalah menjaga pekerja kerana mereka yang membantu jatuh bangun bisnes. Ikutkan di setiap premis kami dibantu lima atau enam kakitangan. Mereka ini aset perniagaan,” katanya selepas sidang media Konsert Memori Mungkin Berulang, baru-baru ini.

Menurut vokalis New Boyz itu, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merupakan perkara wajib yang didahulukan.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada masalah dalam soal caruman kerana kita tak mahu pekerja lari atau merasakan hak mereka diketepikan.

“Dalam dunia F&B memang pekerja datang dan pergi selain kita boleh mengupah kakitangan separuh masa, tapi kita tetap perlukan pekerja mahir agar perkembangan bisnes tidak terencat.

“Kami pun enggan mencetuskan masalah di kemudian hari. Kiranya untuk berdaya maju, majikan dan pekerja mempunyai tanggungjawab masing-masing,” ujarnya.

Bersama isteri, Siti Rahayu Abas yang juga bekas pramugari, mereka membuka cawangan rangkaian F&B popular pertama pada 2017 sebelum menambah cawangan dan membuka outlet lain sepanjang tempoh ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok