Inka Christie tunai umrah, cari jawapan ‘berhibur’

BAGI artis yang sudah lama tidak membuat persembahan pentas pastinya menganggap kesudian menyertai program televisyen Gegar Vaganza sebagai peluang kedua untuk dikenali semula. 

Setiap penyanyi terlibat akan menerima tawaran produksi dengan hati terbuka waima menyedari setiap minggu mereka akan berdepan dengan pelbagai cabaran muzik berbeza. 

Namun, tidak bagi penyanyi Indonesia, Inka Christie yang memberi 1,001 alasan sebagai tanda penolakan pelawaan menjadi antara 14 peserta bagi GV11. 

Tebaknya, usaha itu akan mematikan keinginan produksi dan tidak lagi meminta dia untuk menjadi sebahagian daripada keluarga GV. 

“Beberapa kali mereka minta saya sertai, tetapi disebabkan belum bersedia, pelbagai alasan saya berikan. Saya katakan diri mudah gugup berada di atas pentas, lupa lirik dan bermacam lagi. 

Lagi pun awalnya saya tidak faham dengan konsep rancangan ini sehingga menonton beberapa video di YouTube. Saya lihat penyanyi Datuk Aishah turut menyertai rancangan ini. 

“Suaranya masih bagus dan mereka (produksi) menjelaskan tujuan dan matlamat rancangan ini. Jadi perlahan-lahan saya mula terima. Mereka juga tidak henti-henti meminta sehingga sanggup datang ke Indonesia,” katanya penyanyi berusia 51 tahun itu. 

INKA menganggap kerjaya nyanyian juga sebagai salah satu ibadah untuk dia memberikan contoh yang baik kepada peminat dengan menyampaikan lagu-lagu ke arah positif.

Jawapan

Sebelum bersedia untuk menyertai rancangan itu, pemilik nama lengkap Rinni Chries Hartono itu mengerjakan ibadah umrah bagi mendapatkan jawapan sekali gus yakin dengan pilihannya. 

Balik dari Tanah Suci sekitar pertengahan Oktober lalu, Inka akhirnya memberikan kata putus dan bersedia untuk ‘berperang’. 

Dengan niat untuk mengeratkan silaturahim dengan kenalan artis, Inka memberitahu beberapa hal lain yang turut diminta sebelum membulatkan hati muncul di atas pentas. 

“Produksi tetap juga minta saya untuk masuk rancangan ini beberapa kali. Awalnya saya agak takut, kemudian saya minta izin untuk menunaikan umrah dahulu dan baru saya beri jawapan.

Sewaktu melakukan umrah, saya berdoa kerana bingung untuk membuat keputusan. Selain berdoa kepada Tuhan, saya juga meminta pendapat ibu, keluarga dan guru (ustaz) sebelum benar-benar bersedia. 

“Mereka nasihat, paling penting saya tahu apa tujuannya untuk masuk rancangan itu,” katanya. 

Sedar akan wujud persaingan peserta lain, dia lebih selesa memilih untuk menikmati ‘perjalanan’ pengalaman itu dengan senang hati. 

“Menang atau kalah itu rezeki masing-masing, tetapi paling penting saya berikan yang terbaik dan teladan kepada penonton.

Saya pilih untuk jadi diri sendiri dan bergembira sahaja. Bagi saya ini juga salah satu ibadah di jalan Allah,” terangnya. 

Inka juga meletakkan beberapa syarat kepada pihak produksi iaitu menolak menyanyikan lagu yang disifatkan bertentangan dengan agama atau memberikan contoh buruk kepada pendengar. 

Dia juga enggan mengenakan pakaian yang terlalu ketat atau menampakkan bentuk tubuh dan melakukan gerakan tarian yang mengghairahkan. 

Pilihan

Mungkin segelintir melihat syarat-syarat itu akan membebankan produksi, namun Inka berpegang teguh dengan pendirian yang memilih untuk menyampaikan dakwah biarpun terlibat dalam bidang hiburan. 

Baginya, setiap artis itu mempunyai pilihan masing-masing dalam menentukan hala tuju kerjaya mereka mahupun apa yang ingin dilakukan sepanjang berkecimpung sebagai anak seni. 

“Hidup di dunia seni ini ada yang bermacam-macam. Ada yang membolehkan dan ada yang tidak membolehkan. Bagi saya secara peribadi, kita perlu kembali semula kepada niat. 

Kalau kita berniat untuk berdakwah di atas pentas, kita perlu memperlihatkan perkara baik dan indah. Sama ada soal pakaian mahukan perbuatan (tarian) dan lagu yang disampaikan,” ungkapnya. 

Inka juga memegang erat panji janji sebelum bersetuju menyertai GV11 iaitu menjaga nama baik keluarga. 

“Keluarga saya juga menasihatkan agar saya tahu apa yang dimahukan daripada membuat persembahan nanti. Itu yang penting untuk saya berikan yang terbaik, tidak mengira sama ada di depan Tuhan, di mata manusia atau sebaliknya. Utamanya saya memelihara nama keluarga,” katanya. 

Inka bersama rakan senegaranya iaitu kumpulan The Lima dan Dyrga Dadali akan bersaing dengan barisan peserta lain untuk membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM100,000.

Mula bersiaran pada 24 November depan di saluran Astro Ria, penyanyi lain yang turut menyertai GV11 termasuklah Ning Baizura, Ronnie Hussein, Reshmonu, Liza Aziz, Illa Sabry, Sheila Abdull, Fairuz Selamat, Arrora Salwa, Zehra Zambri, Nai Dinamik dan Yazid Lovehunters.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok