‘Ini satu penindasan’ – Aisha Retno kecewa penganjur batal konsert

PENGANJUR batalkan konsert tanpa memaklumkan saya terlebih dahulu.”

Demikian luahan Aisha Retno yang terkilan apabila pihak penganjur bertindak membatalkan konsert Malam Sutera Aisha Retno pada 16 November ini dengan alasan jualan tiket perlahan.

Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, berkata, lebih mengecewakan  pihak penganjur enggan berbincang bagi mencari solusi agar konsert tersebut dapat diadakan.

“Saya masih berfikiran terbuka untuk berbincang bagi menjayakan konsert ini tetapi mereka tidak mahu berbaik dan berbincang.

Apabila mereka memaklumkan kepada pembeli tiket tentang pulangan semula pembelian, baru mereka beritahu saya. Seharusnya perkara itu dimaklumkan kepada saya dahulu.

“Apa yang saya faham promosi, pemasaran dan kewangan adalah tanggungjawab penganjur tetapi mereka melemparkan tanggungjawab itu kepada saya sebagai produk. Pada saya itu tidak sepatutnya berlaku dan bagi saya ini satu penindasan,” katanya dalam video yang dimuat naik dalam Instagram.

Dalam pada itu, Aisha turut telah menjelaskan kepada penganjur iaitu Kharisma Music International bahawa dia belum bersedia untuk mengadakan konsert.

Pembatalan konsert itu turut mengakibatkan Aisha menanggung kerugian kerana terpaksa menolak beberapa tawaran persembahan.

Saya sudah terangkan kepada penganjur bahawa masih baharu dan hijau dalam industri. Saya perlu kumpul banyak lagu namun apabila mereka yakin dengan tawaran ini, jadi saya bagi peluang.

“Tetapi apabila perkara ini (pembatalan) berlaku, saya rasa sudah tiba masanya untuk jelaskan. Konsert ini memberi impak besar apabila saya tidak boleh menerima tawaran persembahan lain kerana terikat dengan konsert,” katanya.

Meski sedih, Aisha menerima keputusan pembatalan konsert itu dengan hati terbuka dan menganggap ada hikmah disebaliknya.

Terdahulu, penganjur mengumumkan pembatalan konsert yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur berikutan jualan tiket kurang memberangsangkan.

Difahamkan, platform Tiket2u telah menghubungi semua pembeli tiket melalui  e-mel dan akan memproses pemulangan wang yang dijangka mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok