BUKAN sekadar pelaris atau pempengaruh media sosial, populariti pelakon Fattah Amin sejak bercerai dengan Fazura pada 7 Oktober lalu terus meroket apabila dilantik sebagai Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) sebuah jenama produk makanan daging kambing perap popular tanah air.
Pelantikan tersebut sekali gus menjadikan bintang Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu selaku orang korporat yang menentukan strategi promosi sebuah jenama besar.
Perkara tersebut disahkan sendiri Pengarah Urusan Pak Mat Western, Nor Qaiyum Muhamad yang memaklumkan jawatan baharu Fattah berkuatkuasa hari ini.
Abdul Fattah Mohd. Amin merupakan Ketua Pegawai Pemasan baharu yang bakal merancang dan melaksanakan pembangunan, perkembangan serta kemajuan strategi jualan dan pemasaran usahawan melalui media massa juga media sosial.
“Dengan ini secara rasmi perlaksanaan pelantikan baharu bermula pada 20 November 2024.
Saya berharap pelantikan baharu ini dapat memberi satu pembaharuan perniagaan yang lebih efektif dan efisyen dalam pembangunan sistem usahawan kini,” katanya.
Terdahulu pelakon drama Lelaki Melayu Terakhir itu pernah menjadi artis jemputan bagi menjual makanan daging kambing perap yang dianggarkan terjual hampir 10,000 set.
Malah Fattah, 34, turut berjaya mencetuskan fenomena apabila video siaran langsung dalam aplikasi TikTok berjaya meraih lebih 100,000 tontonan dengan 44 juta tanda suka atau ‘like’.
Selain itu, Fattah mendapat pujian ramai apabila meminta pihak pengurusan jenama makanan tersebut untuk mengagihkan wang komisen yang dikatakan bernilai RM90,000 kepada golongan memerlukan.
Sekadar info, Fattah dan Fazura telah berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya, 4. – HIBGLAM