MEMAHAMI minat suami, pempengaruh Dahlia Rizal membuat kejutan dengan menghadiahkan motosikal berkuasa tinggi kepada pelakon Imran Aqil sempena ulang tahun ke-24.
Dahlia atau nama sebenarnya Nur Dahlia Ahmad Rizal, 23, berkata, hadiah istimewa Ducati Scrambler berkenaan sebagai ganti kepada motosikal lama yang terpaksa dijual suaminya itu.
“Dia terpaksa jual dan lepaskan motosikal kegemarannya sebelum ini.
Jadi saya ambil keputusan untuk beli motosikal baharu buatnya iaitu Ducati Scrambler sempena hadiah ulang tahun kelahirannya pada 26 November nanti.
“Harap kamu suka sayang,” katanya dalam perkongsian Instagram yang turut disertakan gambar mereka menaiki motosikal itu.
Menerusi hantaran sama Dahlia turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada bapa saudara Imran yang membantunya menguruskan pembelian hadiah terbabit.
Bahkan, wanita yang aktif dalam dunia peragaan itu tidak ketinggalan menyatakan bahagia dapat berkongsi kegembiraan dengan orang tersayang dengan hasil titik peluhnya.
Saya memang bekerja keras, jadi saya dapat menggembirakan keluarga, rakan dan suami saya,” ujarnya.
Sementara itu, Imran yang terharu menerima motosikal terbabit turut berdoa selain berkongsi gambar membawa isterinya membonceng jentera baharu tersebut.
Ya Allah, jadikanlah sesiapa pun yang aku pandang tetap isteri ku yang paling mulia dan jangan pernah tanamkan pada jiwaku berpaling dan tertarik selain daripada isteri yang diredai.
“Terima kasih isteri ku, semoga Allah sentiasa memuliakan mu,” katanya menerusi Instagram.
Pasangan muda yang baharu setahun mendirikan rumah tangga itu menjadi perhatian apabila disifatkan sebagai sama cantik, sama padan.
Mereka juga dikatakan menjadi contoh kepada golongan sebaya dalam mengatur kerjaya serta rumah tangga biarpun masih muda.
Pada Februari lalu Dahlia turut menjadi sebutan apabila dapat membeli kereta idamannya iaitu Mercedes-Benz hasil kerja kerasnya. – HIBGLAM