‘Harap proses cerai cepat selesai, ini yang terbaik’

SELESAI urusan pengesahan rujuk, pelakon Diana Danielle berharap prosiding perceraian dengan suami, Farid Kamil yang bersambung pada 2 Disember depan diselesaikan dengan segera

Menurut Diana atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, semua urusan pengesahan rujuk hari ini berjalan lancar selain memberitahu dia tidak dapat memberi banyak komen buat masa sekarang.

“Alhamdulillah, segala urusan berjalan lancar hari ini. Selepas ini, proses perceraian pula akan diteruskan.

Saya tidak mempunyai banyak perkara untuk dikongsi buat masa ini, tetapi saya mohon doa daripada semua agar proses perceraian dapat diselesaikan dengan segera.

“Itu adalah yang terbaik untuk semua pihak. Saya juga mendoakan segala kebaikan untuk semua yang terlibat,” katanya dalam Instagram Story hari ini.

Dalam masa sama, Diana sempat menitipkan penghargaan selain memahami cara kerja pengamal media yang bertugas membuat liputan kes perceraiannya di mahkamah selama ini.

“Saya faham bahawa mereka juga mempunyai tanggungjawab kepada editor dan pihak atasan masing-masing.

Selain itu, saya sangat menghargai sokongan mereka selama ini dalam membantu perkembangan karier seni saya, termasuk mengimbangi kekurangan yang wujud sepanjang saya bergelar anak seni.

“Sebagai tanda penghargaan, saya percaya apabila mereka menyokong kita, wajarlah kita turut memberi sokongan kepada mereka,” ujarnya.

Terdahulu selepas selesai urusan hari ini, Diana masih dengan pendirian tidak berkongsi lanjut mengenai prosiding mahkamah yang berlangsung sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada peguam syarie yang mewakilinya, Datuk Akberdin Abdul Kadir.

Sementara itu, Akberdin pula memaklumkan mahkamah hari ini mengesahkan Farid dan Diana kembali rujuk sebagai suami isteri pada 31 Ogos tahun lalu.

Mahkamah seterusnya menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh untuk plaintif iaitu Diana menyediakan dokumen berkaitan sijil rujuk bagi meneruskan prosiding perceraian yang difailkan terhadap Farid.

Pada 4 November lalu, Akberdin berkata, Diana memfailkan cerai kerana tiada persefahaman dan shiqaq (perbalahan) berpanjangan.

Sebelum itu, Diana mengejutkan ramai apabila mengumumkan akan memfailkan cerai buat kali kedua terhadap Farid dalam satu hantaran Instagramnya pada 28 Oktober lalu.

Bintang filem Imaginur berkenaan turut memberi peringatan kepada Farid agar tidak memujuknya lagi selain jemu dengan janji yang tidak ditepati sebelum ini.

Farid bagaimanapun menegaskan dia masih menyayangi Diana dan anak-anak selain nekad mempertahankan rumah tangganya.

Pada 10 Mac tahun lalu, Diana pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun kembali rujuk sebulan kemudian.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok