Harap bertenang, bukan saya kena tahan – Idayu

Terkejut nama dipetik, penyanyi Idayu tampil menafikan dakwaan terlibat dalam kes ditahan polis Thailand bersama pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat, Thailand.

Idayu atau nama lengkapnya Nur Farah Idayu Yaakob, 39, sekeras-kerasnya menyangkal dakwaan tersebut selepas ramai yang mula memetik namanya.

“Ramai betul yang tag (petik) kita kes penyanyi wanita asal Kelantan kena tahan bersama pil.

“Bukan Kak Yuyu (nama panggilan Idayu) ya, harap bertenang,” katanya dalam sebuah hantaran InstaStory.

Selain pelantun lagu Jangan Menangis Cinta, penyanyi Misha Omar turut menjadi mangsa namanya dipetik dalam kes sama.

Baru-baru ini, seorang penyanyi wanita tersohor dari Kelantan merupakan antara enam individu yang ditahan polis Thailand bersama ribuan biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat.

Ketika serbuan kira-kira pukul 5 pagi tersebut, mereka sedang berehat di dalam bilik hotel selepas berhibur di sebuah pusat hiburan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok