Farid sudah keluar rumah – Peguam Diana Danielle

PEGUAM syarie kepada pelakon Diana Danielle iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan aktres itu tidak lagi tinggal serumah dengan suaminya, Farid Kamil.

Bagaimanapun, Akberdin berkata tiada maklumat terperinci yang dikongsikan pemilik nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson, 33, mengenai isu terbabit.

Saya tidak dimaklumkan mengenai maklumat perincian.

“Memang dia beritahu Farid sudah keluar rumah sebulan lalu,” katanya kepada HibGlam.

Hari ini, mahkamah menetapkan 20 November depan sebagai tarikh sebutan pertama bagi permohonan rujuk dan perceraian yang difailkan Diana pagi tadi.

Dalam masa sama, Akberdin memaklumkan Farid perlu memberikan kerjasama atas permohonan rujuk selepas mereka rujuk pada 9 Semptember tahun lalu.

“Rujuk itu tidak boleh dinafikan sebab sekarang mereka suami dan isteri yang itu dia kena setuju, tak masuk akal kalau dia tak setuju.

Namun, kalau dia tak bersetuju dengan permohonan perceraian, kita akan terus ke peringkat berikut iaitu Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan tiga kali peringkat hakam.

“Selepas itu mahkamah akan putuskan sama ada berlaku shiqaq berpanjangan dan panel akan putuskan sama ada lafazkan bagi pihak dia atau sebaliknya,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Diana nekad untuk berpisah dan bakal memfailkan perceraian terhadap Farid buat kali kedua.

Pelakon filem Imaginur itu juga enggan lagi dipujuk malah berkata janji yang ditabur Farid sebelum ini tidak tertunai.

Bagaimanapun, Farid atau Farid Kamil Zahari, 43, menyifatkan kemelut rumah tangga bersama isteri hanya perselisihan faham kecil.

Dalam masa sama, pelakon filem Anwar Ibrahim: The Untold Story itu menerima dengan baik keputusan Diana untuk memfailkan perceraian malah bersedia memberikan kerjasama terhadap proses yang bakal didepani kelak.

Pada 10 Mac tahun lalu, Diana pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun kembali rujuk sebulan kemudian.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia sembilan tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok