PELAKON tidak mempromosikan drama atau filem dalam media sosial masih menjadi polemik, pelakon Nadiya Nisaa menyarankan penerbit memasukkan terma tersebut dalam kontrak agar urusan berjalan lancar.
Nadiya atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa Kamaruddin, 39, berkata, isu atau salah faham tidak akan timbul andai semua perincian produksi termasuk promosi dalam Instagram peribadi dibuat secara hitam putih.
“Keenganan menguar-uarkan hasil lakonan dalam laman sosial peribadi bukan perkara baru kerana ada yang mengambil tindakan sebegini selepas dipergunakan pihak tertentu.
Sebenarnya ramai sahaja tak kisah untuk hebahkan drama mahupun filem lakonan sendiri dalam Instagram atau platform lain macam saya terutama ketika filem Imaginur ditayangkan dulu.
“Cuma pada pendapat saya lebih elok semua perkara penting dalam sesebuah penerbitan diperincikan dalam kontrak,” katanya selepas perasmian Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), semalam.
Isu segelintir pelakon didakwa liat membantu memuat naik promosi produk lakonan sendiri membuatkan beberapa produser menzahirkan rasa kesal dengan sikap berkira mereka.
Begitupun, ramai dalam kalangan kaki drama meminta syarikat produksi memberikan bayaran tambahan bagi tujuan promosi kerana itu juga merupakan sumber pendapatan artis.
Mengenai Imaginur, Nadiya hadir mewakili syarikat Lumatic Films Sdn Bhd selaku penerbit filem genre sains fiksyen itu yang meraih pencalonan tertinggi disenaraikan dalam 15 kategori dipertandingkan di FFM33.
Filem arahan Nik Amir Mustapha yang menggandingkan Diana Danielle dan Beto Kusyairi sebagai teraju utama mendominasi pencalonan yang menyediakan sebanyak 24 kategori secara keseluruhan.
Kata Nadiya, dia berbesar hati apabila turut dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dibawah menerusi tiket filem terbabit.
Saya hadir hari ini mewakili Imaginur. Apa pun saya bersyukur lakonan saya mendapat perhatian apabila mara sebagai finalis bersama empat lagi calon lain termasuk Nabila Huda.
“Lebih bermakna Imaginur diumumkan disenaraikan dalam 14 kategori lain. Ini sangat membanggakan dan menunjukkan semangat juang keseluruhan produksi,” ujarnya.
Filem terbabit mara dalam kategori Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Pelakon Wanita Harapan, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Poster Terbaik dan Sinematografi Terbaik.
Selain itu, Imaginur juga meraih pencalonan dalam kategori Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penyunting Terbaik dan Filem Terbaik,” ujarnya.
FFM33 bakal disiarkan secara langsung di TV2 dari Auditorium Seri Angkasa Kota Media RTM pada 7 Disember ini. – HIBGLAM