ENGGAN mengulas perihal rumah tangga, pelakon Farid Kamil sebaliknya lebih teruja berkongsi tentang ulang tahun kelahiran anak perempuannya, Nur Aurora yang kesembilan pada hari ini.
Ujar Farid atau nama lengkapnya Farid Kamil Zahari, 43, tahun ini anak gadisnya hanya mahu hadiah paling istimewa iaitu dirinya.
Selamat hari jadi saya ucapkan dan mahu minta semua orang ucapkan selamat ulang tahun kelahiran kepada Aurora.
“Saya harap orang beri doa-doa yang terbaik buat anak saya Nur Aurora Robe’ah.
Semoga dia diberkati dan dirahmati Allah SWT. Dia nak hadiah paling mahal iaitu diri saya,” katanya kepada HibGlam usai prosiding pengesahan rujuk sebentar tadi.
Ditanya mengenai penampilannya yang mengenakan songkok berlilit reben putih, pelakon filem Anwar The Untold Story itu enggan menjawab sebaliknya meluahkan hasrat mahu menjemput Aurora pulang dari sekolah.
“Ada nampak ‘handsome’(kacak)?
Sebenarnya, hari ini saya sangat bersyukur. Saya nak pergi ambil anak saya dari sekolah untuk menyambut hari lahirnya.
“Rahsia (sambutan hari jadi). Yang penting mestilah sambut di tempat paling romantik,” ujarnya.
Dalam masa sama, Farid bersyukur urusan bertemu anak-anak dipermudahkan memandangkan baru sahaja berjumpa pagi tadi.
Jumpa anak-anak tiada masalah. Kami dapat bertemu seperti biasa. Kali terakhir saya jumpa mereka pun hari ini.
“Aurora dan Muhammad, alhamdulillah mereka dalam keadaan baik-baik sahaja,” jelasnya.
Pada 4 November lalu, peguam syarie mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kadir memaklumkan anak guamnya itu memfailkan cerai kerana tiada lagi persefahaman dan shiqaq (perbalahan) berpanjangan.
Terdahulu, Diana mengejutkan ramai apabila mengumumkan akan memfailkan cerai buat kali kedua terhadap Farid dalam satu hantaran Instagramnya pada 28 Oktober lalu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9. – HIBGLAM