TERUS mencuri tumpuan, pasangan pelakon terkenal, Farid Kamil dan Diana Danielle tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, pagi ini bagi prosiding permohonan pengesahan rujuk dan tuntutan perceraian mereka.
Diana, 34, yang tiba di mahkamah kira-kira pulul 9.19 pagi mengenakan jubah serba hitam dengan ditemani peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir sempat berseloroh dia hanya ingin menikmati nasi lemak hari ini.
Saya nak makan nasi lemak. Semoga dipermudahkan, amin,” katanya ringkas.
Sementara, Farid yang tiba bersama peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan pula memakai baju berwarna putih dan songkok yang dililit dengan reben putih seakan-akan membawa maksud berkabung.
Saya harap semoga semua dapat doakan yang baik-baik, insya-Allah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Akberdin berkata, hari ini akan berlangsungnya pengesahan rujuk sebelum diteruskan dengan proses cerai.
Kita akan teruskan dengan rujuk dan lihat kepada keputusan hakim berkenaam cerai. Kedua-dua belah pihak perlu hadir,” katanya ditemui di pekarangan mahkamah, pagi ini.
Pada 4 November lalu, Akberdin berkata, Diana memfailkan cerai kerana tiada persefahaman dan shiqaq (perbalahan) berpanjangan.
Terdahulu, Diana mengejutkan ramai apabila mengumumkan akan memfailkan cerai buat kali kedua terhadap Farid dalam satu hantaran Instagramnya pada 28 Oktober lalu.
Bintang filem Imaginur itu turut memberi peringatan kepada Farid agar tidak memujuknya lagi selain jemu dengan janji yang tidak ditepati sebelum ini.
Farid bagaimanapun menegaskan dia masih menyayangi Diana dan anak-anak selain nekad mempertahankan rumah tangganya.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun kembali rujuk sebulan kemudian.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9. – HIBGLAM