Bakal melalui proses perceraian kali kedua, pelakon Diana Danielle dan Farid Kamil sekali lagi berdepan detik penentuan esok sama ada bercerai atau sebutan permohonan perceraian ditangguhkan ke tarikh lain.
Prosiding tuntutan perceraian Diana terhadap Farid memasuki episod baharu dijangka berlangsung pukul 9 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
Sebelum ini, pemilik nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson, 34, mengejutkan ramai apabila mengumumkan nekad berpisah apabila mahu memfailkan perceraian terhadap suaminya buat kali kedua.
Pelakon filem Imaginur itu juga enggan lagi dipujuk malah mendakwa janji yang ditabur pelakon juga pengarah filem itu sebelum ini tidak tertunai.
Bagaimanapun, Farid atau Farid Kamil Zahari, 43, menyifatkan kemelut rumah tangga bersama isteri hanya perselisihan faham yang sangat kecil.
Dalam masa sama, pelakon filem Anwar Ibrahim: The Untold Story menerima dengan baik keputusan Diana untuk memfailkan perceraian malah bersedia memberikan komitmen terhadap proses yang bakal didepani kelak.
Difahamkan, Farid berada di lokasi penggambaran tatkala Diana meluahkan hasrat tersebut menerusi satu hantaran dalam media sosial.
Pada 10 Mac tahun lalu, aktres terbabit memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun, kembali rujuk sebulan kemudian.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia 9 tahun. — HIBGLAM