Buli: ‘Teguran pelakon senior untuk kebaikan bersama’

PADA awalnya disangka sekadar perkongsian pengalaman namun siapa sangka dakwaan seorang pelakon baharu kononnya pernah dibuli di set penggambaran mencetuskan perdebatan dalam kalangan penggiat seni.

Bukan hanya pelakon, pengarah dan penerbit, bahkan menteri turut sama bersuara melontarkan lagi pandangan mengenai isu tersebut.

Ada yang meminta tidak dibesar-besarkan dan terdapat juga mahu dakwaan isu buli dalam kalangan penggiat seni ini diteliti. Adakah dibuli atau sekadar diajar untuk menjadi pelakon lebih baik?

Enggan isu tersebut berlarutan, pelakon senior, Khatijah Tan menegur sikap segelintir pelakon baharu yang kurang melakukan perbincangan untuk menjayakan watak sebaliknya lebih gemar membuat hal sendiri di set penggambaran.

“Saya tak faham konsep sekarang. Dahulu, kita akan duduk semeja, berehat dan berbual bersama tetapi sekarang, suasana itu dah berubah.

“Ada yang memilih untuk duduk sendirian dalam kereta dan hanya keluar untuk babaknya sahaja. Saya tertanya-tanya, di mana kemesraan yang sepatutnya wujud?

Jadi, bila saya fikir semula, teguran pelakon senior itu adalah untuk kebaikan bersama sebab nak rapatkan hubungan supaya setiap babak dihasilkan dengan baik,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Ujarnya, keserasian antara pelakon di set penggambaran adalah satu perkara yang sangat penting untuk membantu menjayakan watak yang perlu mereka lakonkan.

“Keserasian antara pelakon sangat penting. Kadang-kadang, cara orang lama nampak macam membuli, tapi sebenarnya tidak begitu.

Teknik lakonan sebenarnya sangat luas. Ada yang memilih pendekatan lembut seperti saya, supaya pelakon lain rasa lebih selesa.

“Namun, ada juga yang kasar, bukan kerana mereka tidak suka, tapi itulah cara untuk menunjukkan kasih sayang dan mencipta hubungan yang lebih erat,” tuturnya.

Dalam masa sama, Khatijah berkata  istilah membuli pendatang baharu tidak pernah wujud dalam kamus kerjayanya sepanjang hampir empat dekad bergelar anak seni.

Dia sebaliknya mempunyai cara tersendiri mendidik pelakon baharu,  termasuk mengajar mencipta keserasian bagi menjayakan sesebuah naskhah.

“Saya banyak bekerja dengan pelakon baharu tetapi tidak terlintas dalam fikiran untuk membuli sebab pekerjaan ini adalah ikatan kasih sayang dan saya selalu menjadi ibu mereka di set penggambaran.

Mereka ini sebenarnya bukan manja dan kalau mereka rasa tak selesa, mereka cenderung untuk menjauhkan diri.

“Sebab itu adakalanya orang yang lebih senior salah faham dan anggap mereka sombong, sedangkan bukan itu puncanya pun,” katanya lagi.

KHATIJAH bersama pelakon dan karyawan filem Jangan Pandang Belakang 2, termasuk anaknya Pierre Andre. – AFIQ RAZALI

Jangan Pandang Belakang 2

Berkongsi tentang filem terbaharunya, Jangan Pandang Belakang 2 (JPB2) arahan anak lelakinya, Pierre Andre, tiada apa yang diharapkannya selain meraih sambutan hebat daripada khalayak.

Dia juga mahu melihat kejayaan sama diraih JPB1 iaitu mendapat kutipan pecah panggung berulang sekali lagi.

“Kerjasama dalam kalangan pelakon untuk filem ini memang bagus. Tidak kiralah muda atau tua, semuanya beri hasil yang hebat.

Harap filem ini berjaya mengembalikan kutipan ‘box office’ JPB1 17 tahun lalu,” tuturnya.

Berkongsi tentang pengalaman, Khatijah yang juga pelakon dalam JPB1 mengakui mempercayai kewujudan perkara ghaib.

Katanya, penglibatan dalam naskhah seram mampu membantu menguatkan lagi iman seseorang.

“Saya percaya alam ghaib itu wujud tetapi tidaklah sampai melakukan hal syirik atau sebagainya.

Sebenarnya, apabila saya banyak terlibat dengan cerita hantu, lebih banyak diganggu, lagi kuat iman kita dengan mengamalkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

“Jadi, sebab itu saya suka berlakon filem seram dan melihat naskhah sebegini lebih mencabar,” kongsinya.

Tidak terlepas daripada mengalami gangguan misteri di set penggambaran, dia bagaimanapun enggan membiarkan perkara tersebut mengganggu fokusnya menjayakan watak sebagai Mak Lang.

“Ada dua tiga kali saya diganggu di set penggambaran JPB2 iaitu ketika berlakon di rumah orang tua. Ada momen saya dengar bisikan yang sebut nama kakak saya.

Pierre juga ada dengar suara wanita mengilai. Tapi kami biarkan sahaja.

“Orang selalu cakap isu yang diketengahkan dalam filem seram adalah perkara tahyul tetapi hakikatnya kalau dirungkai satu demi satu, semua itu adalah realiti.

“Sebenarnya kita sendiri perlu jadi baik supaya tidak diganggu makhluk halus. Kalau perangai sendiri pun ke laut, memang akan ada gangguan,” ujarnya lagi.

Selain Khatijah, filem terbitan Metrowealth (MiG) dan Primeworks Studio yang mula ditayangkan sejak 21 November lalu tersebut turut membariskan nama besar lain seperti Emma Maembong, Iedil Putra, Mawar Rashid dan Alif Hadi.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok