‘Buli dalam kalangan pelakon, produksi wujud’

PELAKON Alif Muhaimin mendedahkan gejala buli wujud dalam dunia lakonan seperti yang pernah dialaminya di awal pembabitan sebagai pelakon.

Menurut Alif atau nama lengkapnya Aliff Muhaimin Abdul Rahman, 30, dia pernah berhadapan dengan situasi dibuli oleh kru produksi sehingga membuatkannya ingin berhenti berlakon.

“Sewaktu awal-awal berlakon dulu ada seorang kru yang akan gelakkan saya setiap kali saya beraksi depan kamera. Perkara itu menggangu saya dan akhirnya terpaksa lakukan banyak kali.

Bila terjadi seperti itu, kru-kru lain mula menyindir saya dengan mengatakan mereka terpaksa bekerja sehingga malam disebabkan saya.

“Perkara tersebut membuatkan saya rasa mahu berhenti berlakon ketika itu juga. Saya sampai makan di tepi longkang. Sampai satu tahap dia buat saya hilang sabar,” katanya kepada  HibGlam.

Kongsi johan pertandingan Hero Remaja 2017 tu lagi, bukan dia seorang sahaja yang melalui pengalaman seperti itu, malah ada ramai pelakon berdepan senario serupa.

“Saya lihat depan mata pelakon baharu dibuli oleh pelakon senior. Lebih-lebih lagi pelakon tambahan. Malah, ada yang memegang watak utama tetapi dibuli oleh pelakon senior. Menurut pelakon senior tersebut, sewaktu zamannya, semua pelakon baharu kena buli.

Antara yang selalu dilakukan oleh artis senior ini adalah apabila pelakon baharu melakonkan babak dialog yang panjang, di penghujung babak tersebut mereka sengaja buat salah agar pelakon baharu terpaksa buat semula.

“Kadang-kadang bila ‘rehearsal’ mereka buat lain, tiba-tiba waktu penggambaran mereka ubah. Jadi pelakon baharu terkapai-kapai. Akhirnya pelakon baharu disalahkan,” kongsinya.

Tambah pelakon drama Sara Sajeeda itu lagi, gejala buli dalam kalangan pelakon seharusnya dihentikan dan tidak dinormalisasikan.

Saya lihat gejala buli dalam kalangan pelakon seolah-olah menjadi perkara biasa. Sampaikan bila ada pelakon yang mengadu, mereka akan cakap tak apa kerana perkara itu perkara biasa.

“Mereka tidak akan tegur artis senior, tetapi mereka akan tegur pelakon baharu. Relaks dan jangan ‘koyak’ kata mereka. Kalau nak jadi pelakon kena kuat. Perkara itu sudah biasa didengar,” ujarnya yang kini tampil dengan drama Sebelum Titik Noktah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok