‘Buka tudung? Tidak mungkin terjadi’

DIPUJI kelihatan lebih cantik tanpa hijab, pelakon terkenal Nur Fazura menolak permintaan peminat yang ingin melihatnya kembali kepada penampilan lama.

Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, sebaliknya meminta peminat mendoakan dirinya terus istiqomah menutup aurat.

“Disebabkan penampilan dalam filem Manisnya Cinta Di Cappadocia, ramai mesej saya minta buka tudung.

Tidak mungkin akan terjadi. Mudah-mudahan doakan semoga dijauhkan daripada itu. Masa itu sudah berlalu,” katanya dalam video di Instagram.

Fazura berkata demikian ketika membalas komen peminat yang menyukai penampilannya dalam filem Manisnya Cinta di Cappadocia yang diterbitkan pada 2014.

Pada masa sama, Fazura turut mengakui karya arahan Bernard Chauly itu merupakan naskhah kegemarannya.

Selain Fazura, filem itu turut dibintangi Shaheizy Sam, Faizal Hussein, Datin Lisa Surihani dan Fauziah Ahmad Daud.

Difahamkan filem itu pertama kali mempertemukan Fazura dengan bekas suaminya, aktor Fattah Amin. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok