SYARIKAT pengeluaran air minuman, Bubblebee Sdn. Bhd. (Bubblebee) didenda keseluruhan RM17,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Majistret Ameera Mastura Khamis menjatuhi hukuman itu selepas syarikat tersebut sebagai Orang kena Saman (OKS) yang diwakili dua pengarahnya iaitu Shahmira Muhamad, 40, atau lebih dikenali Shuib dan Koh Choon Guan, 33 mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Selain itu, syarikat berkenaan juga dibenarkan membuat bayaran ansuran sebanyak enam kali bagi tunggakan caruman kepada Perkeso.
Bubblebee didakwa tiga pertuduhan sebagai majikan utama kepada seorang lelaki berusia 25 tahun telah didapati gagal membayar kepada Perkeso bagi caruman majikan dan pekerja bagi bulan November hingga Disember berjumlah keseluruhan RM97.80 seperti dikehendaki dibawah Seksyen 6 (1) dan (8) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan 32, Peraturan-Peraturan Am Keselamatan Sosial Pekarja 1971.
Syarikat itu juga didakwa tiga pertuduhan gagal membayar caruman keseluruhan RM17.40 untuk lelaki sama untuk tiga bulan yang sama bagi Sesyen 18 (1) Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dan Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Sistem Insurans Pekerjaan (Pendaftaran dan Caruman) 2017.
Syarikat yang diasaskan Shuib juga dituduh telah gagal mematuhi saman dibawah Seksyen 110 (1) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang seterusnya melakukan kesalahan dibawah Seksyen 110 (2) akta sama dengan perbuatan dilakukan di Pejabat Perkeso Selangor kira-kira pukul 11 pagi, 10 Januari lalu.
Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan dihadapi syarikat itu adalah boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Berdasarkan pecahan, Bubblebee didenda RM7,500 masing-masing untuk Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.
Untuk pertuduhan ingkar saman pula sebanyak RM2,500 dan dokumen berkaitan perlu diserahkan kepada Perkeso pada 20 Disember ini.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Perkeso Selangor, Nurul Atikah Che Sarif manakala OKS tidak diwakili peguam. – HIBGLAM