INGIN sama-sama menjadi manusia lebih baik, pelakon Nora Danish mengajak peminat untuk membersihkan dalaman diri dan meninggalkan perasaan riak.
Nora atau nama lengkapnya Nora Mohd. Danish Hanif, 42, berkata, membuang perasaan negatif mampu mencetuskan kebahagiaan kepada seseorang individu dengan hanya mengubah diri sendiri.
“Bahagia itu tanpa syarat. Di mana kalau kita boleh buang kesombongan diri, ‘bersihkan pakaian’ kita iaitu sifat dalaman kita kita yang keji dan buruk.
“Kita buka pintu hati kita berjihad untuk berubah, menerima qada dan qadar. Kita boleh bahagia tanpa bergantung kepada sesiapa, benda atau tempat.
“Jom kita usaha ‘bersihkan pakaian’ kita sama-sama,” katanya menerusi perkongsian dalam Insta Story.
Sebelum itu, Nora turut mengajak peminat melakukan solat sepertiga malam atau Qiamullail bagi mencari kebahagiaan.
Jelas ibu kepada dua anak itu, beribadah pada waktu tersebut melatihnya untuk tidak meletakkan kebahagiaan kepada perkara yang sementara.
Pada masa sama, pelakon Polis Evo 3 itu juga menyarankan kaum wanita untuk memperbanyak istighfar dan sedekah bagi mengelakkan perbuatan mengumpat.
“Nabi berpesan, kita perlu membanyakkan istighfar dan sedekah supaya tidak muflis akhirat.
“Kerana sudah jadi kebiasaan kita suka ‘membawang’, bila bersedekah itu pula niatkan kepada orang yang pernah kita zalimi.
“Kalau kita nak minta maaf setiap orang yang kita umpat, memang tidak logik apa lagi yang kita tak pernah jumpa.
“Amalkan sedekah dan sentiasa bertaubat,” kongsinya.
Sejak kebelakangan ini bekas isteri kepada ahli perniagaan, Nedim Nazri itu dilihat semakin mendekati majlis ilmu dan mendalami agama selain memaklumkan mahu istiqamah menjadi Muslimah lebih baik. -HIBGLAM