[VIDEO] ‘Berdamai dengan diri, jangan membenci sesiapa’

MESKI berdepan kemelut rumah tangga dengan isterinya, Paula Verhoeven, pelakon popular Indonesia Baim Wong memilih untuk menjalani kehidupan tenang bersama dua anaknya ketika ini.

Menurut Baim atau nama penuhnya Muhammad Ibrahim, 43, kekuatannya ketika inilah adalah tidak ‘berperang’ dengan emosi sendiri selain menegaskan tiada perkara yang harus ditakutinya.

“Alhamdulillah doakan yang baik-baik untuk saya, keluarga dan juga Paula, insya-Allah.

“Kekuatan saya? Berdamai dengan diri sendiri dan jangan membenci sesiapa. Kalau sudah jujur saya terima apa sahaja.

“Saya juga harus kekal kuat. Kalau sudah jujur dengan apa adanya, tiada yang perlu ditakuti,” katanya kepada HibGlam selepas majlis tayangan gala filem seram arahannya berjudul Lembayung.

Mengenai ribuan komen negatif yang diterima, Baim mengakui jiwanya tidak ‘kebal’ dalam membaca segala kecaman netizen.

“Ada komen yang boleh dan tidak perlu dibaca. Saya seorang yang sensitif, adakalanya apa yang dibaca buat saya berfikir, jadi lebih baik elakkan.

“Namun, saya tidak pernah menyalahkan orang dan jangan sesekali berdendam dengan individu yang melemparkan kata-kata negatif kerana energi tersebut akan berbalik kepada kita.

“Jadi, saya kekal begini sahaja dan terus bekerja. Sejak dulu pun saya memang orang seperti ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Baim memberitahu hubungannya dengan Paula masih baik dan kekal berhubung sehingga hari ini dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah atas segala kemungkinan.

“Anak-anak semuanya dalam keadaan baik. Kami masih berhubung dan WhatsApp sehingga hari ini.

“Doakan sahaja yang terbaik untuk kami (sekiranya kembali berbaik),” katanya lagi.

Bercerita tentang Lembayung yang juga filem seram pertama arahannya, Baim berharap mendapat sambutan hebat di Malaysia.

Lembayung yang bakal ditayangkan bermula 5 Disember depan dibintangi pelakon, Anna Jobling selain bintang popular Indonesia seperti Taskya Namya, Yasamin Jasem, Arya Saloka dan Daffa Wardhana.

Terdahulu, pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 2018 namun Baim memfailkan cerai pada 7 Oktober lalu kerana mendakwa Paula berlaku curang.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Kiano, 3 dan Kenzo yang kini berusia dua tahun.

Sehingga kini, perbicaraan kes perceraian mereka masih berlangsung di Mahkamah Pengadilan Agama Jakarta Selatan, Indonesia.- HIBGLAM.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok