PERNAH mencecah berat 90 kilogram (kg), pelakon Hairi Safwan mendedahkan hampir melakukan pembedahan bariatrik selepas mengalami sakit lutut sehingga menyukarkan pergerakan.
Bagaimanapun, Hairi atau nama lengkapnya Hairi Safwan Aznan, 37, lega apabila mampu kembali ke bentuk tubuh ideal tanpa perlu melakukan prosedur berkenaan.
Sekitar pertengahan tahun lalu saya memang bercadang melakukan pembedahan bariatrik disebabkan masalah sakit lutut yang berpunca daripada berat badan berlebihan.
“Fizikal yang gemuk dengan berat 90 kg menjejaskan stamina untuk melakukan aktiviti harian termasuk berlakon. Saya bernasib baik mempunyai rakan juga seorang doktor perubatan yang menyarankan saya kaedah lain bagi menurunkan berat badan.
“Menerusi kaedah serta bimbingan yang disarankan itu pun saya berjaya buang 15kg dalam tempoh hampir sebulan” katanya selepas sidang media sambutan Jubli Mutiara Ulang Tahun Aswara dan pementasan teater muzikal Sakti Merong Mahawangsa, baru-baru ini.
Mengakui teruja dengan perubahan diri, pelakon yang terbabit dalam arena lakonan sejak 14 tahun lalu itu berhajat membantu individu obesiti lain untuk menurunkan berat badan.
Kesungguhannya menjalankan perniagaan demi masa depan keluarga, bersama rakannya itu Hairi turut membuka Aqal Mediklinik yang beroperasi di Setia Alam sejak tiga bulan lepas.
Sebagai bapa yang bakal menimang anak keempat saya perlukan pendapatan kukuh selain berlakon kerana tawaran pun bermusim, jadi hasil perbincangan dengan doktor terbabit kami menubuhkan klinik.
“Dalam masa sama, saya bersyukur dapat melakukan jihad kecil dengan membantu orang lain mendapatkan rawatan terbaik bahkan doktor yang membantu saya kurus kembali turut memberikan khidmat nasihat bagi masalah obesiti.
Walaupun saya tiada kepakaran dalam bidang perubatan tetapi berdasarkan pengalaman, saya boleh kongsi saranan cara untuk turunkan berat badan,” ujarnya.
Mengenai pembabitan dalam teater muzikal Sakti Merong Mahawangsa, Hairi berasa bertuah dapat bersama 120 alumni dengan kerjasama Persatuan Alumni Aswara mempersembahkan nashkah mega itu di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) bermula 22 hingga 24 November ini.
Katanya, pementasan teater muzikal itu merupakan acara kemuncak sambutan Jubli Mutiara yang menandakan 30 tahun penubuhan Aswara sebagai institusi pengajian seni terulung di Malaysia.
Pembabitan dalam Sakti Merong Mahawangsa juga adalah sumbangan kecil untuk pusat ilmu tempat saya mula berjinak-jinak dalam lakonan, bahkan istimewanya saya dapat satu pentas dengan ramai alumni Aswara lain.
“Ini naskhah yang besar, jadi apabila dipilih untuk beraksi saya menyahut cabaran biarpun tempoh latihan amat singkat. Namun dengan komitmen semua persiapan serta latihan sudah hampir 70 peratus disempurnakan,” katanya.
Antara pelakon lain ialah Ezdianie Hayatie, Fadhli Masoot, Saiful Wazien, Amirul Hakim, Aznie, Mei Fen, Najua P Ramlee, Ewan Fauzi, Syrul Ezwan, Reza Mohamed dan Hafizam.
Orang ramai yang berminat boleh membeli tiket atas talian di https://www.cloudjoi.com/shows/teater-muzikal-sakti-merong-mahawangsa. – HIBGLAM