Enggan membazirkan wang kemenangan dengan berseronok tanpa hala tuju, Juara program Kilauan Emas 2024, Gie mengakui akan menggunakan ganjaran berjumlah RM30,000 untuk melangsaikan hutang.
Berpijak di bumi nyata, Gie atau nama sebenarnya, Roziah Abdul Hamid, 48, berkata dia tidak malu mendedahkan perkara tersebut kerana itu hakikat yang perlu dihadapi.
“Saya cakap terus terang, wang kemenangan ini memang saya nak langsaikan mana-mana hutang yang masih tertunggak.
Paling penting kata wanita asal Mersing, Johor itu, sekiranya hutang sudah selesai, barulah dia akan merasa tenang untuk menunaikan umrah menerusi pakej dimenanginya malam tersebut sebagai hadiah sampingan.
Tidak pernah terbayang bakal menjejakkan kaki ke Tanah Suci, Gie bersyukur dikurniakan rezeki dan peluang itu selepas bergelar juara Kilauan Emas 2024.
“Selesaikan segala hutang dahulu, nanti nak pergi buat umrah pun hati jadi tenang. Tidaklah nanti orang kata kita pergi buat ibadah tapi hutang keliling pinggang.
“Tiada kata selain syukur menang pakej umrah, kalau nak pergi sendiri tak mampu sebab saya bukan orang senang.
“Memang dah lama teringin nak ke Mekah. Tak sangka pula antara hadiah saya menang adalah pakej umrah,” katanya,
Terus mendakap tuah, Gie juga menggondol Anugerah Emas Berkilau of The Week selepas berjaya memukau penonton dengan persembahannya Kau Pergi Tanpa Pesan.
Sebagai juara, Gie membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM30,000, trofi Kilauan Emas, pakej umrah serta percutian tiga hari dua malam di Garden Chalet. – HIBGLAM