KONSISTEN dan persis penyanyi profesional setiap kali membuat persembahan menjadi antara faktor yang menyumbang kejuaraan pucuk muda, Kiki Fateeha dalam program The Chosen One (TCO2024) pada Jumaat lalu.
Bakat Kiki diperakui vokalis Wings, Datuk Awie yang menyifat Kiki antara pelapis masa depan industri muzik tanah air.
“Pada peringkat awal uji bakat lagi saya melihat dia mempunyai potensi dan apabila di atas pentas final dia seperti penyanyi profesional.
“Bahkan, saya pasti Datuk Siti Nurhaliza akan berbangga melihat Kiki menyanyikan lagu Kau Kekasihku dengan begitu baik,” kata Awie selaku ketua juri.
Sementara itu, penyanyi Ziana Zain sebagai juri jemputan juga terkejut dengan kebolehan luar biasa Kiki yang baru berusia 13 tahun.
“Jika saya pejam mata dan hanya dengar suara, saya tidak tahu lagu ini dipersembahkan oleh kanak-kanak berusia 13 tahun kerana vokalnya cukup matang tidak sepadan dengan usia,” ujar Ziana.
Selama lapan minggu bersaing dalam TCO2024, Kiki yang merupakan anak didik kepada penyanyi Aepul Roza dilihat sentiasa bersedia setiap kali membuat persembahan di atas pentas.
Selain lagu Kau Kekasihku, Kiki turut berduet dengan Aepul menerusi medley, Jangan Kau Mimpi (Siti Sarah) dan Butter (BTS).
Biarpun kemenangannya menepati ramalan ramai, gadis asal Sabah itu tidak menyangka dapat bergelar juara sementelah persaingan yang cukup sengit daripada peserta lain.
“Memang tidak sangka langsung akan menang. Ini adalah pengalaman pertama saya bertanding dalam sebuah program yang besar di semenanjung dan televisyen.
“Saya hadiahkan kemenangan ini kepada ibu yang merupakan seorang ibu tunggal kepada empat orang anak. Walaupun bukan mudah untuk membesarkan kami adik-beradik, ibu sentiasa menyokong minat saya dalam nyanyian.
“Sebagai anak sudah tentu saya mahu membanggakan ibu dan melakukan yang terbaik selepas apa yang ibu korbankan untuk memastikan saya mencapai impian menjadi penyanyi,” tutur Kiki yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik.
Lagu duet
Dalam pada itu, sebagai jurulatih Aepul cukup berbangga dengan pencapaian anak didiknya. Yakin dengan bakat dan kebolehan Kiki, Aepul enggan hubungan yang terjalin berakhir dalam program ini.
“Saya yakin dia mampu pergi jauh dan mahu berada di sebelahnya sepanjang perjalanan dalam bidang muzik ini. Sebenarnya saya sudah rancang, menang atau kalah saya akan hadiahkan sebuah lagu untuk Kiki.
“Insya-Allah dalam tempoh dua bulan lagu duet kami yang bergenre rock balada akan dilancarkan. Saya kagum, walaupun baru berusia 13 tahun caranya berfikir, disiplin dan komited terhadap kerja cukup luar biasa,” tutur Aepul.
Kiki membawa pulang wang tunai RM30,000, trofi dan rakaman sebuah lagu bersama label Rocketfuel, manakala Aepul yang dinobat sebagai jurulatih terbaik memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.
Program TCO2024 diadili Awie dan Jaclyn Victor selaku juri tetap, sementara Ajai serta Ziana Zain diundang sebagai juri jemputan pada malam akhir program berkenaan.
Tempat kedua dimenangi Akhil Mikail (anak didik Tomok) yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000, selain dipilih sebagai pemenang Persembahan Terbaik.
Anak didik penyanyi Adira iaitu Atikah Rose pula dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga, sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000.
Azry Sabri yang merupakan anak didik kepada Firdaus dan Fahimi Rahmat pula berada di tempat keempat dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.
TCO2024 adalah penganjuran edisi kedua dan dikendalikan oleh Jihan Muse dan Haziq Hussni selaku pengacara program. – HIBGLAM