‘Baik macam mana pun, saya tak percaya pembantu rumah’

PARANOID dengan lambakan kes melibatkan pembantu rumah, pelakon Anzalna Nasir mengakui sanggup melepaskan tawaran kerja bernilai ratusan ribu demi menjaga anak-anaknya sendiri sejak beberapa tahun lalu.

Selain melepaskan tawaran kerja, Anzalna, 36, juga tidak pernah meninggalkan dua anaknya iaitu Eidrees dan Mohamad Emirhan bersendirian dengan pembantu rumah sejak lahir.

“Menonton video ini buat hati saya hancur, alhamdulillah Allah SWT lindungi Zeq (anak pempemgaruh, Dr. Say Shazril).

Saya memang tak boleh kalau melibatkan hal berkaitan pembantu rumah sebab banyak sangat kes begini (dera).

“Saya bukan ibu yang sempurna tetapi sanggup korbankan kerja demi anak-anak, sejak mereka lahir, tidak pernah sekali pun tinggalkan sendirian dengan pembantu rumah,” katanya dalam Instagram.

Katanya, tawaran kerja sanggup diketepikan asalkan dua anaknya sentiasa selamat di bawah jagaannya sendiri.

“Walaupun terlepas tawaran kerja beratus ribu pun, tak mengapa. Paling penting anak-anak ada di bawah jagaan sendiri.

Saya akan batalkan setiap perancangan sekiranya keluarga tidak dapat menjaga mereka.

“Tidak akan sekali pun saya tinggalkan anak-anak dengan pembantu rumah kerana saya tidak langsung mempercayai mereka walau baik macam mana,” ujarnya.

Menerusi perkongsian sama, Anzalna turut mengulang siar video milik Dr. Say yang memaparkan seorang pembantu rumah menjaga dan melayan anak lelakinya berusia 10 bulan dengan cara yang kasar sehingga bimbang memberi kesan buruk terhadap kesihatan bayi berkenaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok