‘Apa sahaja boleh berlaku’ – Illa Sabry sahut cabaran GV11

BERSAING dengan penyanyi bertaraf ‘diva’ seperti Ning Baizura dan Liza Aziz tidak mematahkan semangat Illa Sabry untuk memberikan persembahan terbaik dalam program Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11).

Biarpun mengakui berasa gementar untuk membuat kemunculan semula setelah 20 tahun tidak aktif menyanyi, Illa atau nama sebenarnya Fasillah Sabry, 45, tetap positif dengan kemampuan sendiri, sekali gus bersaing dengan 13 peserta lain.

“Saya agak gementar untuk membuat persembahan kerana sudah lama tidak aktif menyanyi. Tetapi insya-Allah saya akan cuba berikan yang terbaik dalam program itu nanti.

Saya sedar semua peserta mempunyai kekuatan masing-masing dan dapat memberikan saingan sengit. Walau macam mana pun, saya cuba buat sehabis baik saja.

“Lagi pun kita tidak boleh jangka apa yang akan berlaku di kemudian hari terutama di pentas GV ini kerana apa sahaja boleh berlaku di luar kotak fikiran kita semua,” katanya kepada HibGlam.

Mengulas lanjut, sebagai persediaan penyanyi yang terkenal dengan lagu Keranamu Kekasih itu melakukan senaman dan mengikuti kelas vokal sebagai persediaan menjelang konsert minggu pertama pada 24 November nanti.

“Sekian lama saya tidak menyanyi dan sekarang ingin menyanyi semula pastilah saya perlu menjalani banyak latihan kerana beberapa peserta lain masih aktif dalam industri.

Untuk mendapatkan stamina ketika membuat persembahan saya akan melakukan senaman di samping masuk kelas vokal. Maklum 20 tahun tidak menyanyi, jadi banyak teknik yang kena perbaiki.

“Bagi ini saya ini bukan persembahan biasa kerana ini pentas berprestij. Banyak tumpuan diberikan kepada persembahan dan bukan boleh buat main-main,” katanya.

Illa menjadi antara 14 peserta yang akan merebut gelaran juara sekali gus membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000.

Peserta lain yang turut menyertai program ini adalah Ronnie Hussein, Reshmonu, Sheila Abdull, Fairuz Selamat, Arrora Salwa, Zehra Zambri dan Nai Dinamik.

Sementara itu, bintang Indonesia dan Singapura pula ialah kumpulan The Lima, Dyrga Dadali, Inka Christie dan Yazid Lovehunters. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok