‘Ahmad Nawab tokoh hebat, tiada tandingan’

 “Arwah tokoh pencipta lagu yang hebat dan tidak dapat ditandingi.”

Demikian luahan penyanyi Datuk DJ Dave yang menyifatkan maestro muzik, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab sebagai seorang pemuzik yang tiada galang ganti.

DJ Dave atau nama sebenarnya Irwan Shah Abdullah, 76, terkejut menerima khabar duka tersebut memandangkan baru sahaja kehilangan komposer legenda, Datuk S Atan pada minggu lepas.

“Arwah adalah salah seorang tokoh pencipta lagu yang hebat dan tak dapat ditandingi dalam negara. Saya termasuk semua artis yang pernah bekerjasama dengannya tahu dia seorang yang banyak mengajar tentang ilmu muzik.

“Saya juga bersedih kerana dalam minggu ini kita kehilangan dua tokoh penting dalan industri muzik tempatan. Tak dinafikan ketika menerima perkhabaran ini saya juga terkejut.

“Memandangkan baharu sahaja tahun lepas kami berdua menerima penganugerahan daripada Yang Dipertuan Agong. Allahyarham menerima gelaran Tan Sri manakala saya untuk gelaran Datuk,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui semasa menziarahi arwah di kediamannya.

Berkongsi lanjut, Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Veteran (YKAT) itu turut menyifatkan arwah sebagai seorang yang tegas dalam kerja.

Namun, dia percaya ketegasan arwah adalah satu daripada cara mendidik dan berkongsi ilmu muzik kepada semua orang.

“Dia seorang yang tegas dalam kerjaya. Dia nak juga kita ikut rentak dia dan kami rakan-rakan artis ini banyak belajar daripadanya.

“Bila masuk studio, kebanyakan rakaman lagu dibuat di Singapura. Saya masih ingat Allahyarham banyak kali tegur saya bila ada seni kata yang tak dapat saya bawakan dengan baik atau tak berapa sesuai dengan ciptaannya.

“Dia akan marah. Teguran sedemikian telah beri satu semangat untuk kami bekerja kuat dan naikkan mutu nyanyian kami. Kita sememangnya telah kehilangan satu permata yang amat berharga dalam bidang seni,” ujarnya.

Dalam masa sama, DJ Dave berasa ralat kerana tidak dapat melunaskan hasrat Allahyarham yang mahu berkunjung ke kediamannya baru-baru ini.

“Saya ada jemput dan dia benar-benar mahu datang ke rumah saya tetapi minggu yang dijanjikan, dia hubungi dan katakan tak dapat datang kerana tak sihat.

“Jadi dia tunda kepada minggu seterusnya. Minggu kemudian, dia juga hubungi saya dan katakan tak dapat hadir kerana kesihatan tidak begitu baik,” jelasnya.

Ahmad Nawab meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves, sekitar pukul 3.15 petang tadi
akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur – Karak (Taman Selasih), pukul 10.45 pagi esok.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok