DALAM setiap kumpulan penyanyi pasti salah seorang akan dilantik menjadi ketua bagi memimpin kerjaya nyanyian mereka.
Sebenarnya, tugas sebagai ‘kepala’ bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi sekiranya dianggotai ramai ahli.
Meskipun memikul tanggungjawab yang berat, ada juga beberapa ketua kumpulan mampu memikul amanah dengan baik.
Kali ini, Daebak membawakan lima ketua kumpulan K-pop yang menggalas tugas dengan cemerlang sama ada dalam mengurus kerenah ahli, mahupun ketika berdepan peminat.
G-Dragon Big Bang
BIG BANG menjadi penghibur yang digelar sebagai King Of K-Pop iaitu kumpulan yang menguasai industri Korea Selatan.
Pujian terhadap prestasi cemerlang tersebut harus diberikan kepada ketua kumpulannya iaitu G-Dragon yang bijak memimpin.
Meskipun bergerak solo dalam karier nyanyian, pemilik nama asal Kwon Ji-young itu tetap berdiri bersama Big Bang.
Leeteuk Super Junior
Ketua kumpulan Super Junior iaitu Leeteuk juga dianggap sebagai ketua berkaliber dan berkebolehan memimpin.
Hal ini kerana, dia sudah menggalas tanggungjawab sebagai ketua kumpulan seawal umur 15 tahun lagi.
Pemilik nama lengkap Park Jeong-su itu mampu melalui pelbagai ujian termasuk skandal, perselisihan, kekurangan anggota kerana menyertai perkhidmatan tentera, kematian ahli dan juga diuji pada titik terendah apabila bapanya meninggal secara tragis.
Bahkan, kesemua dugaan tersebut tidak membuatkan penyanyi berusia 41 tahun itu patah semangat atau mundur. Dia berhasil mempertahankan kumpulan dan membuatkan kesemua ahli semakin rapat.
RM BTS
TIDAK lengkap senarai ini tanpa menyenaraikan kumpulan BTS yang dipimpin oleh RM.
RM sangat dikenali sebagai selebriti genius kerana mampu menghasilkan banyak lagu hebat sehingga membawa nama BTS ke peringkat global.
Berasal dari agensi kecil, kumpulan BTS sering mendapatkan layanan tidak adil dari banyak pihak tetapi RM mampu menjaga keutuhan mereka.
Taeyeon Girls Generation
PASTI ramai tertanya-tanya mengapa penyanyi Taeyeon menjadi satu-satunya ketua kumpulan wanita yang terbaik dalam senarai.
Sejak debut pada tahun 2007, Taeyeon atau nama lengkapnya Kim Tae-yeon berjaya menjadikan kumpulannya Girls Generation sebagai satu-satunya kumpulan wanita yang masih bertahan sehingga kini.
Meskipun masih utuh, Girls Generation turut berdepan pelbagai ujian termasuk kehilangan ahlinya iaitu Jessica pada tahun 2014.
Terkesan dengan isu terbabit, wanita berusia 35 tahun itu tetap menjaga perhubungan setiap ahli sehingga mampu bertahan.
JR Nu’est
MENURUT anggota kumpulan Nu’est dan peminat, ketua kumpulan mereka iaitu JR sangat luar biasa.
Bukan hanya bijak menjaga setiap anggota, pemilik nama asal Kim Jong-hyeon itu juga mahir menghafal setiap koreografi dengan cepat.
Tidak mementingkan diri, dia sanggup membantu ahli lain untuk menguasai koreografi lagu yang sukar.
Hal tersebut kerana dia mahu kesemua ahli mampu memberikan yang terbaik ketika membuat persembahan di hadapan peminat. – HIBGLAM