RAMAI mengagumi gaya hidup mewah idola K-pop hasil kemasyhuran yang dikecapi sebaik sahaja memegang status bintang.
Memang ada yang hidup selesa selepas berjaya mencipta nama selain ada juga dalam kalangan selebriti memang datang daripada keluarga senang.
Tidak kurang juga ada yang menikmati kehidupan seperti pewaris ‘chaebol’ iaitu konglomerat perindustrian besar Korea Selatan yang dikendalikan individu atau keluarga sama dalam K-drama.
Daebak kali ini menyenaraikan kisah bintang kimchi hartawan untuk bacaan semua.
Umji
NAMPAK seperti orang biasa hakikatnya, penyanyi Umji merupakan anak kepada pakar bedah pergigian yang paling terkenal di Korea Selatan.
Difahamkan, bapanya memegang jawatan tertinggi dalam kumpulan Pergigian Moa yang mempunyai lebih 45 cawangan klinik perubatan di Korea.
Semasa Umji masih bersama kumpulannya iaitu Gfriend, dia menggunakan kad kredit ibu bapanya untuk segala keperluan sendiri dan menjamu selera rakan-rakan.
Siwon
MENURUT sebuah laporan, bapa kepada penyanyi Siwon merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boryung Medicine iaitu syarikat farmaseutikal terkenal di Korea.
Keluarganya juga memiliki beberapa syarikat seperti Hyundai Department Store, salah satu rangkaian kedai serbaneka utama dan Korean Slim Fashion di Korea.
Pemilik nama lengkap Choi Si-won itu juga terkenal dengan sikap dermawannya apabila giat menyertai kempen Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sejak 2010.
Dia kemudiannya dilantik sebagai wakil khas jawatankuasa Korea Selatan untuk UNICEF pada 2015.
Jay
BAPA kepada penyanyi kumpulan Enhypen iaitu Jay ialah pemilik bersama dan merupakan presiden syarikat Sinar Tour.
Sinar Tour adalah agensi pelancongan yang mulanya menyewa penerbangan dari Korea Selatan ke Brunei kerana tiada penerbangan terus kedua-dua hala destinasi tersebut pada 2015.
Bapanya juga melabur dalam agensi pelancongan di Amerika Syarikat dan Kanada. Paling tidak dilupakan, Jay atau nama asalnya Park Jong-seong pernah membayar semua perbelanjaan ahli Enhypen termasuk penginapan di sebuah hotel tujuh bintang.
Mark Tuan
PENYANYI kumpulan GOT7, Mark Tuan juga merupakan seorang anak golongan konglomerat.
Bapanya seorang ahli perniagaan yang telah bersara dan keluarganya memiliki beberapa hartanah di Beverly Hills, Los Angeles.
Dikatakan, pemilik nama lengkap Mark Yein Tuan, 31, pernah terbang ke Switzerland dari Thailand hanya untuk bermain salji.
Semasa melancong sendirian, dia juga menempah seluruh kabin kelas pertama hanya untuk keselesaan peribadi.
Nichkhun
IBU penyanyi ahli kumpulan 2PM iaitu Nichkhun sebenarnya CEO Union Medical di Thailand iaitu pengedar farmaseutikal terkemuka negara itu.
Dilahirkan di Amerika Syarikat dan dibesarkan di Thailand, pemilik nama lengkap Nichkhun Buck Horvejkul pernah bersekolah di Waganui Collegiate School.
Sekolah tersebut paling berprestij dan terkenal di New Zealand, bahkan Putera Edward daripada kerabat diraja Britain turut menyambung pengajian di tempat sama. – HIBGLAM