4 bintang K-Pop bijak bisnes

DUNIA hiburan Korea Selatan tidak sekadar melahirkan bintang berbakat besar, tetapi juga individu cekal yang berjaya mengembangkan kerjaya ke bidang lain.

Antara yang menjadi tumpuan ialah kebolehan artis memanfaatkan populariti untuk membina empayar perniagaan.

Peluang yang ada digunakan sepenuhnya untuk menceburi pelbagai jenis perniagaan termasuk kosmetik, fesyen, makanan dan teknologi.

Dengan strategi pemasaran yang berkesan, kebanyakan mereka kini menjadi usahawan berjaya dan dikenali di peringkat antarabangsa.

Pencapaian mereka membuktikan bahawa populariti dalam industri hiburan boleh menjadi platform untuk mencipta sesuatu yang lebih besar dan berdaya saing.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan empat selebriti Korea yang berjaya dalam dunia perniagaan, sekali gus memecahkan stereotaip artis hanya bergantung kepada pendapatan seni.

G-Dragon

Nama G-Dragon sebati dengan muzik dan fesyen.

Sebagai ikon K-Pop serta ketua kumpulan Big Bang, dia turut dikenali kerana kecintaannya terhadap seni dan gaya.

Idola berusia 36 tahun itu berjaya mengubah minat tersebut menjadi perniagaan melalui jenama fesyen, PEACEMINUSONE.

Jenama itu menawarkan pakaian dan aksesori premium yang sering menjadi rebutan peminat serta pencinta fesyen.

Keunikan rekaan jenama tersebut mencerminkan gaya peribadi pelantun lagu Power itu yang sentiasa melangkaui batasan trend semasa.

Bukan itu sahaja, jejaka tampan itu juga kerap bekerjasama dengan jenama antarabangsa seperti Nike untuk menghasilkan koleksi eksklusif.

Kerjasama itu tidak hanya meluaskan pengaruh jenamanya tetapi juga menambah kredibilitinya sebagai usahawan.

Kejayaan PEACEMINUSONE membuktikan kemampuan G-Dragon untuk mencipta nama di luar dunia muzik malah menjadi inspirasi kepada ramai artis muda yang bercita-cita menceburi bidang perniagaan.

Jessica

Bekas anggota Girls’ Generation itu kini mencipta nama sebagai usahawan fesyen berjaya.

Jessica mengasaskan jenama BLANC & ECLARE yang menawarkan pelbagai produk termasuk pakaian, kaca mata dan kosmetik.

Jenama itu bermula dengan koleksi kaca mata dan kini berkembang kepada pelbagai segmen fesyen malah berjaya menembusi pasaran global dengan butik di beberapa bandar utama seperti Seoul, New York dan Hong Kong.

Idola berusia 35 tahun itu turut terlibat secara langsung dalam proses rekaan sekali gus membuktikan kesungguhannya terhadap jenama berkenaan.

IU

IU bukan sahaja memukau peminat dengan suara lunaknya tetapi juga bijak dalam mengendalikan perniagaan.

Penyanyi dan pelakon itu telah melabur dalam jenama kosmetik Korea mesra kulit dengan bahan semula jadi yang kini berkembang pesat di pasaran Asia.

Idola berusia 31 tahun itu juga sering menggunakan sebahagian keuntungan daripada perniagaannya untuk aktiviti kebajikan.

Tindakan itu bukan sahaja meningkatkan reputasi dirinya malah memperkukuh jenama kosmetik tersebut di mata pengguna.

Dengan pendekatan penuh keikhlasan dan misi membantu masyarakat, IU membuktikan kejayaan perniagaan tidak hanya pada keuntungan tetapi juga impak positif terhadap orang ramai.

Suzy

Dikenali sebagai ‘Nation’s First Love’, Suzy turut membuktikan kebijaksanaannya dalam bidang pelaburan hartanah.

Aktres dan penyanyi berusia 30 tahun itu telah membeli beberapa bangunan di kawasan strategik Seoul yang kini bernilai tinggi.

Suzy sering mendapat pujian atas kebijaksanaannya dalam membuat keputusan pelaburan.

Hartanah yang dimilikinya dijadikan sumber pendapatan pasif melalui penyewaan menjadikannya antara selebriti muda dengan portfolio pelaburan kukuh.

Kejayaan Suzy membuktikan selebriti boleh merancang masa depan dengan bijak, terutama ketika berada di puncak populariti. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok