PENYANYI terkenal Beyonce telah memecahkan rekod suaminya, Jay-Z sebagai penyanyi paling banyak menerima pencalonan Anugerah Grammy.
Sebelum ini pasangan itu berkongsi rekod yang sama iaitu sebanyak 88 pencalonan.
Namun, untuk Anugerah Grammy ke-67 menerusi album Cowboy Carter, Beyonce menerima 11 nominasi sekali gus menjadikannya sebagai penyanyi paling banyak pencalonan dalam sejarah penganjuran acara berprestij itu.
Beyonce juga merupakan artis paling banyak menerima pencalonan pada edisi kali ini. Antara kategori yang bakal menjadi rebutannya adalah Album Terbaik, Album Country Terbaik dan Lagu Terbaik.
Beyonce juga merupakan pemegang rekod bagi artis yang paling banyak memenangi anugerah Grammy iaitu sebanyak 35 anugerah termasuk tiga anugerah bersama kumpulan Destiny’s Child.
Biarpun begitu, dia belum pernah memenangi anugerah bagi kategori Album Terbaik sepanjang kariernya sebagai penyanyi.
Perkara itu telah membuatkan suaminya marah dan memberikan ucapan berbaur sindiran sewaktu menerima anugerah Grammy pada acara tahun ini.
“Saya tidak mahu memalukan wanita ini. Tetapi dia mempunyai trofi anugerah Grammy melebihi semua orang namun tidak pernah menang Album Terbaik.
Fikirkan tentang perkara ini. Pemenang Grammy paling banyak tidak pernah menang Album Terbaik. Perkara ini tidak masuk akal,” katanya.
Untuk Anugerah Grammy edisi ke-67, Beyonce bakal dicabar pesaing terdekatnya iaitu Taylor Swift yang mempertaruhkan album The Tortured Poets Department.
Taylor yang pernah memenangi trofi Album Terbaik sebanyak empat kali itu telah tercalon dalam enam kategori.
Selain Taylor, penyanyi sensasi Sabrina Carpenter dikatakan turut memberi saingan sengit kepada Beyonce di mana telah tercalon dalam enam kategori.
Anugerah Grammy ke-67 bakal berlangsung pada 2 Februari 2025 bertempat di Arena Crypto.com Los Angeles, Amerika Syarikat. – HIBGLAM