Zul Ariffin adiwira Forsaken World 2, kagumi potensi Sofyank

PELAKON Zul Ariffin mengakui peluang bekerjasama dengan pencipta kandungan digital media sosial terkemuka, Sofyank menyuntik keyakinan bahawa anak muda itu mampu pergi lebih jauh dalam bidang diceburi.

Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 38, berkata, bekerja di bawah pengarahan Sofyank dalam permainan video MMORPG terkemuka dunia, Forsaken World 2, membolehkannya melihat sendiri potensi Softyank sekali gus membakar semangatnya.

“Sebelum ini, saya hanya mendengar nama Sofyank bila ramai cakap mengenai video animasi atau VFX yang dihasilkan dalam media sosial. Dari situ saya yakin dia sangat berbakat, apatah lagi pernah bekerja dengan nama besar seperti Zach King, Will Smith, Chris Hemsworth dan Paul Rudd.

Kemudian bila dapat pula peluang bekerjasama dengannya dalam video Forsaken World 2 ini, sudah tentulah saya teruja kerana bagi saya, Sofyank antara bakat anak Malaysia yang luar biasa.

“Tidak mustahil dengan potensi dimiliki, dia mampu melakukan sesuatu untuk industri seni perfileman tanah air. Kalau lebih ramai dapat contohi dia pun bagus. Industri kita perlukan lebih ramai orang seperti ini,” katanya.

Berkongsi pengalaman membawakan watak adiwira dalam video arahan Sofyank itu, Zul berkata, ini merupakan kali pertama dia menggayakan kostum ala Marvel sepanjang membina kerjaya sebagai anak seni.

Zul berkata, kostum yang diinspirasikan daripada salah satu watak dalam permainan tersebut iaitu Demon Hunter menjadi antara kenangan berharga buat dirinya.

“Lakonan saya dalam video ini juga agak berbeza kerana banyak melibatkan kesan visual dengan menggunakan skrin hijau. Saya harus menggunakan imaginasi saya sendiri.

Kostum itu nampak macam besi, tetapi tidak berat. Saya pun kagum sebab kostum itu juga dihasilkan pereka bertaraf antarabangsa.

“Saya berjaya bawakan watak itu di bawah pengarahan Sofyank tak sampai lima jam. Semuanya berjalan lancar dan yang penting saya ‘enjoy’ melakukannya,” ujarnya.

Sementara itu, Sofyank atau nama sebenarnya, Muhammad Sofian Abdullah, 28, mengakui teruja bekerjasama dengan pelakon Sheriff: Narko Integriti itu yang disifatkan sangat profesional.

Saya rasa Zul merupakan pilihan paling tepat untuk watak ini. Bukan sahaja kerana dia pelakon aksi berkaliber malah watak Demon Hunter ini memerlukan susuk tubuh sasa untuk beraksi dengan senjata gah.

“Sepanjang bekerja dengannya, saya seronok dan teruja sebab Zul sangat profesional,” katanya.

Bagi menyempurnakan lagi elemen fantasi dalam video tersebut, Sofyank turut mendapatkan khidmat juruanimasi antarabangsa yang pernah memberi sentuhan dalam filem Hollywood seperti The Little Mermaid, Snow White dan Sonic the Hedgehog.

Ini juga bukan kali pertama Sofyank berkolaborasi dengan bintang lokal untuk tujuan permainan video mudah alih itu.

Sebelum ini Sofyank pernah bekerjasama dengan Beto Kusyairy dalam sebuah video kesan visual yang mencapai jutaan tontonan dan menjadi buah mulut ramai.

Video arahan Sofyank untuk Forsaken World 2 boleh mula ditonton di laman sosial hari ini, manakala pelancaran rasmi permainan yang diterbitkan VNGGames ini adalah pada 22 Oktober selain boleh dimuat turun di App Store serta Google Play.

VNGGames sebelum ini turut mencatat sejarah sebagai syarikat permainan video global pertama yang mengadaptasikan watak pahlawan Melayu, Mat Kilau dalam sebuah permainan mudah alih terkenal. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok