SAAT membuat keputusan untuk mengadakan konsert Cipta pada 10 Ogos lalu, penyanyi yang juga komposer prolifik, Datuk M. Nasir langsung tidak terfikir tentang sambutan luar biasa yang diterima.
Pada jangkaannya cukuplah sekadar sebuah konsert untuk mengisi profil memeriahkan industri muzik tempatan.
Namun, sebaik sahaja konsert Cipta berakhir, rata-rata peminat yang hadir tidak dapat move on dan mengharapkan penyanyi yang berusia 67 tahun itu kembali lagi dengan persembahan seterusnya.
“Walaupun saya tiada TikTok dan tidak melihat media sosial, tetapi saya tahu maklum balas penonton konsert yang pertama. Mereka kata, tidak dapat move on.
“Ikutkan selepas konsert Cipta tidak ada sebarang perancangan untuk mengadakan konsert lagi, kalau ada pun tahun depan.
“Tetapi kerana permintaan ramai dan kebetulan ada tarikh kosong di stadium kerana pembatalan sebuah konsert K-pop jadi saya rasa kenapa tidak. Elok juga kita tutup tahun 2024 dengan sebuah konsert lagi” tutur beliau.
Tambah M. Nasir atau nama sebenarnya, Mohamad Nasir Mohamed, biarpun tempoh perancangan dibuat kurang daripada dua bulan, namun beliau yakin pasukannya mampu untuk memberi yang terbaik pada Konsert Cipta 2 yang akan berlangsung esok (12 Oktober 2024) di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Sebagai watak utama dalam konsert Cipta 2, M. Nasir bahkan tidak merasai sebarang tekanan untuk memberi yang lebih baik berbanding Cipta yang pertama.
Sebagai penyanyi, beliau hanya menikmati peluang yang dihulurkan.
“Soal tekanan bukanlah satu perkara yang difikirkan kerana sebagai pelaku seni, membuat persembahan adalah perkara biasa. Saya harap, setahun dua atau tiga kali buat konsert akan menjadi budaya buat penyanyi di Malaysia.
“Kita buat konsert pun kerana kehendak orang, harap trend bikin konsert ini bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi di seluruh Malaysia.
“Ya mungkin, konsert Cipta pertama tidak mencukupi bukan sahaja untuk peminat tetapi saya sendiri kerana banyak lagi lagu yang belum berpeluang dinyanyikan,” ujar pelantun Mustika optimis.
Pemilihan lagu
Bergelar sifu, M. Nasir telah menghasilkan sebanyak 3,000 buah lagu sepanjang 45 tahun usia kerjayanya dalam industri muzik.
Justeru sudah tentu bukan satu perkara yang mudah untuk memilih seleksi lagu memuaskan hati bukan sahaja khalayak tetapi dirinya sendiri.
“Tidak mudah menyanyi banyak lagu, jika mahu bahagikan 30 buah lagu setiap konsert, saya harus mengadakan 100 buah konsert untuk semua lagu saya didendangkan (ketawa).
“Untuk konsert Cipta 2, repertoirnya hampir separuh berubah daripada konsert Cipta pertama. Masih ada lagu wajib yang harus dikekalkan, tetapi untuk konsert kedua, saya memilih lebih santai rock & roll tetapi identiti muzik Nusantara tetap ada,” ujar M. Nasir.
Ditebak adakah terdapat sebarang kekurangan yang ingin diperbaiki daripada penganjuran konsert Cipta pertama untuk persembahan lebih baik pada konsert Cipta 2, jawab M. Nasir beliau tidak pernah fikir soal persembahannya pada mata umum.
“Saya tidak pernah fikir bagus atau tidak, tetapi saya tahu apabila penonton sudah mula rasa resah, mungkin lagu itu mereka tidak biasa dengar atau bosan.
“Kalau kata itu kelemahan konsert pertama, saya akan cuba atasi untuk konsert kedua supaya tidak semua lagu genre rock atau balada semata-mata.
“Sebenarnya mana-mana konsert akan ada gelombang perasan turun naiknya, mana mungkin lagu yang rancak sahaja, mana penonton ada tenaga begitu tinggi sepanjang masa. Kita cuba seimbangkan,” kongsi M. Nasir lagi.
Penghargaan
Jika pada konsert Cipta pertama membawakan tema pakaian tradisional, kali ini konsepnya lebih santai. Penonton disarankan datang berseluar jeans berwarna biru dan berbaju putih.
“Temanya santai dan lagu-lagu kali ini lebih banyak rock jadi saya rasa sesuai dengan pakaian sebegitu. Sebelum ini sudah bertanjak dengan bercucuk sanggul, kali ini kita santai sahaja,” ungkapnya.
Keunikan konsert sifu muzik itu tentunya terletak kepada barisan pemuzik sebagai ‘penjana’ bunyi sepanjang konsert.
Menariknya juga, jika konsert pertama, maestro muzik, Datuk Ramli MS, dijemput beraksi di atas pentas, kali ini pemain gitar tersohor, Hamzah Mohd. Taib atau lebih dikenali dengan nama Kid Search diajak sebagai bintang undangan.
Sungguhpun begitu dengan kemelut yang melanda kumpulan Search kerana perebutan penggunaan nama Search antara vokalisnya Amy bersama Nasir (pemain bass) dan Kid bersama Noordin dibimbangi akan mencetuskan provokasi antara anggota yang lain.
Sambil tersenyum M. Nasir menjawab: “Konsert saya suka hati sayalah hendak pilih siapa. Lagi pun memudahkan saya kerana Kid main gitar dalam rakaman album lagu Search yang akan didendangkan dalam konsert ini.
“Soal mungkin boleh dipolitikkan sesetengah pihak, saya tidak kisah! Apa yang saya pentingkan adalah impak pada hari konsert.
“Andai ada isu yang timbul selepas itu, kita jawab kemudian. Kalau saya hendak jemput semua pemuzik mana cukup dan mana boleh puaskan hati semua orang.
“Mungkin untuk konsert akan datang saya jemput pemuzik lain pula.”
Pada hujungnya, peminat yang hadir pada konsert Cipta 2 diharapkan terhibur.
“Saya boleh janji kelainan. Maknanya, peminat yang datang pada konsert pertama akan melihat sesuatu berbeza dalam konsert kedua. Paling penting semua yang hadir menikmati muzik dan gembira dengan apa yang dipersembahkan,” tutup M.Nasir.