PELAKON Nora Danish menyeru golongan suami agar tidak culas memberi nafkah kepada isteri demi rumah tangga yang harmoni.
Nora atau nama penuhnya Nora Mohd Danish Hanif, 42, menyuarakan perkara itu selepas dimaklumkan banyak kes perceraian yang berlaku kebelakangan ini berpunca daripada masalah kewangan.
“Peguam saya ada beritahu ramai pasangan bercerai kerana masalah kewangan.
Realitinya banyak berlaku di luar sana ada suami yang tak jalankan tanggungjawab dan pandang remeh isu pemberian nafkah kepada isteri,” katanya dalam satu temu bual podcast.
Enggan melihat berlakunya lebih banyak perceraian disebabkan faktor kewangan, bintang sitkom Puteri itu menggesa orang ramai khususnya golongan lelaki untuk menitikberatkan soal pemberian nafkah bagi mengelakkan timbulnya pelbagai isu lain.
Jelasnya, masih ramai golongan suami masih kurang faham konsep asas nafkah sehingga ada menganggap isteri yang bekerja tidak perlu diberi nafkah kerana sudah mampu menyara diri sendiri.
“Kita perlu didik orang di luar sana terutama lelaki yang bakal bergelar suami bahawa nafkah adalah perkara penting.
Walaupun hanya beri jumlah yang sedikit kepada isteri, itu sebenarnya tetap satu barakah (keberkatan).
“Bagi saya isu ini segelintir lelaki ambil sambil lewa sebab sekarang ramai golongan wanita dan isteri sudah bekerja.
Maka, suami rasa isteri mereka mampu. Semua ni juga berlaku disebabkan mereka tak faham konsep asas mengenai nafkah,” ujarnya.
Dalam temu bual sama, Nora turut berkongsi perceraian dengan bekas suami, Nedim Nazri pada Jun lalu banyak mengajarnya menjadi seorang Muslimah lebih baik hari demi hari.
“Bila jadinya perceraian itu, Allah SWT permudahkan dan semuanya berlaku dalam tempoh singkat meskipun kemelut itu sudah berlanjutan lama.
Saya reda dan kemudian meminta petunjuk daripada Tuhan. Kalau begini rasanya sakit kehilangan suami (cerai), macam mana jika Allah duga dengan kehilangan yang lebih besar?
“Ketika itu saya terfikir, Allah memang akan beri dugaan kepada hamba-Nya mampu tanggung tetapi hanya untuk mereka yang beriman. Kalau tidak beriman, tak mungkin boleh hadap ujian sebegini,” tuturnya.
Katanya, perceraian juga banyak membawa titik perubahan besar dalam hidupnya selain membuka mata mengenai perkahwinan.
“Bila kita kahwin kerana cinta, cinta itu yang melukakan anda.
Bila kahwin kerana Tuhan, walaupun bunyi klise, barulah saya faham jalan menuju ke Allah itu indah,” katanya lagi.
Nora dan Nedim Mohamad Nazri, 41, sah bercerai pada Jun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl yang kini berusia enam tahun. – HIBGLAM