[VIDEO] The Penguin: ‘Salute’ Colin Farrell, luar biasa hebat

BUAT mereka yang masih ‘berkabung’ tentang bagaimana filem Joker: Folie à Deux diterjemahkan di layar perak, barangkali kisah seorang lagi musuh ketat Batman iaitu The Penguin berpotensi mengubati segala kekecewaan yang bersarang di jiwa pencinta DC Comics.

The Penguin kini sedang hangat ditayangkan menerusi HBO yang berdurasi lapan episod. Setakat artikel ini ditulis, siri lakonan Colin Farrell itu sudah tersedia untuk tiga episod dan mendapat respons positif ramai peminat.

Penulis tidak terkecuali baru sempat menghabiskan episod pertama The Penguin.

Pertama sekali, pelakon utamanya, Colin Farrel sebagai Oswald “Oz” Cobb atau The Penguin layak diberikan tepukan berdiri (standing ovation) di atas komitmen, penghayatan dan terjemahan world class karakter villain underdog tersebut.

FIZIKAL Colin Farrell berubah 180 darjah sebagai Oz atau The Penguin dengan teknik solekan yang luar biasa kemenjadiannya.

Dalam The Penguin, Farrel berjaya menghidupkan karakter Oz dengan cukup cemerlang. Kalau dalam filem-filem utama sebelum ini, Penguin barangkali kurang menonjol atau tidak diberikan fokal penuh, menerusi siri ini perspektif penulis nyata terus berubah 180 darjah.

Villain hebat

Penguin saing-saing dengan vilain lain seperti Joker, Harley Quinn, Poison Ivy dan Ra’s al Ghul.

Dia bukan sahaja seorang penjenayah yang cacat fizikal yang sering disalah erti seperti diterjemah dalam filem-filem utama sebelum ini tetapi, dalam The Penguin, potensinya sebagai seorang gengster utama meningkatkan ‘darjatnya’ di Gotham.

Farrel membawa peminat ke dimensi yang tidak pernah diterokai peminat sinema atau komik DC sebelum ini.

Dari segi dialog, sisi gelap dan ‘ketokohan’ diterjemahkan Farrel sebagai Oz dalam siri ini sangat meninggalkan dampak luar biasa yang akan dikenang peminat serta menjadi rujukan pada hari-hari mendatang.

Kalau kalian berasakan Joker: Folie à Deux sudah ‘merendahkan’ martabat Joker sebagai antara villain paling hebat di Gotham disebabkan filem tersebut yang bertemakan muzikal, barangkali dengan penonton The Penguin, itu semua boleh dineutralkan.

FILEM ini bertepatan dengan tema atau DNA karya-karya yang mengangkat para villain di Gotham

Setakat episod pertama, penulis terpesona dengan alur cerita dan lakon layar yang diterjemahkan pasukan The Penguin.

Mahukan lebih drama seperti apa diharapkan dalam Joker: Folie à Deux yang tidak kesampaian, The Penguin barangkali ada kunci untuk menghilang rasa dahaga tersebut.

Keduanya, penulis sangat terkesan dengan tone yang dicernakan dalam siri ini. Dari satu perspektif, sangat dark dan bertepatan dengan tema atau DNA karya-karya yang mengangkat para villain di Gotham.

Kepuasan

Biarpun berstatus siri berepisod, dari segi kepuasan The Penguin memberikan dampak luar biasa sama seperti apa dipaparkan di layar perak.

Dari segi teknikal seperti efek bunyi, sinematografi memang sama naik, sama tinggi dengan dengan apa dipaparkan dalam filem The Batman arahan Matt Reeves yang diluncurkan pada 2022.

 

Dari satu sudut, rasa seperti apa yang dipaparkan dalam The Batman (lakonan Robert Pattinson) memang sengaja diwujudkan untuk memberi laluan buat siri The Penguin diluncurkan di televisyen.

TURUT mencuri tumpuan watak Sofia Falcone atau The Hangman yang dijayakan pelakon hebat, Cristin Milioti.

Seperkara lagi, sangat tertarik dengan terjemahan satu lagi karakter iaitu Cristin Milioti sebagai Sofia Falcone atau The Hangman.

Dia penuh misteri dan merupakan ‘graduan’ hospital sakit jiwa, Arkham. Sebagaimana penulis sangat mencintai karakter Joker dan Harley Quinn, energi sama untuk watak Sofia yang dijayakan cukup bergaya oleh Cristin.

Setakat episod pertama The Penguin, tidak keterlaluan rasanya penulis memberikan markah cemerlang tertinggi untuk siri tersebut.

9/10 buat lakonan, alur cerita dan perihal penting dalam kemenjadian sesebuah naskhah. Bravo, Penguin! – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok