[VIDEO] Smile 2 lebih seram, ‘dark’

BUKAN mudah untuk menterjemahkan sebuah filem baharu berstatus sekuel, namun itu ditunjukkan dengan cemerlang karya berjudul Smile 2 arahan sutradara hebat, Parker Finn.

Diterajui pelakon Naomi Scott yang memainkan peranan sebagai seorang bintang bernama Skye Riley, Smile 2 kini merupakan antara filem seram berkualiti 2024.

Kemenjadian tersebut dapat dilihat daripada elemen seram, gore, permainan karakter, runut bunyi dan naskhah yang turut dibarisi pelakon hebat lain termasuk Lukas Gage sebagai Lewis (bekas kawan sekolah Riley yang merupakan seorang pengedar dadah) berjaya menghidupkan perjalanan filem.

PERMAINAN karakter Lukas Gage sebagai Lewis cukup menjadi dalam Smile 2.

Menggunakan karakter seorang ‘popstar’ yang terkena sumpahan ‘senyuman’ ternyata satu percaturan yang berbaloi apabila filem berkenaan bukan sahaja menduduki carta nombor satu dunia. Smile 2 bahkan mendapat maklum balas positif daripada ramai pengkritik filem.

Mulanya, penulis berasa sedikit skeptikal dengan percaturan menggunakan elemen muzik atau dunia budaya pop dengan sumpahan Smile namun jangkaan tersebut jauh meleset.

Seperti dinukilkan pada perenggan awal, Scott sebagai Riley adalah antara sebab mengapa filem ini berjaya diadun dengan cemerlang.

Kisah Riley menjadikan universe Smile kini mempunyai masa depan untuk terus didokumentasikan dalam bentuk filem untuk waktu-waktu berikutnya.

Selain alur cerita yang digarap cemerlang, antara kekuatan lain filem Smile 2 adalah terjemahan karakter pelakon utamanya, Naomi Scott (kanan) yang memainkan watak seorang superstar bernama Skye Riley.

Karakter Riley ternyata ‘menjadi’, satu nilai tambah dan estetika untuk jenama filem Smile. Lazimnya, sekuel sukar untuk menandingi karya original, namun hal tersebut tidak terjadi dalam Smile 2.

Iblis atau aura jahat Smile lebih jelas dalam sekuel kali ini. Motivasi dan personaliti entiti terbabit lebih ‘rakus’ dan barangkali mungkin kedengaran sedikit lucu, namun buat mereka yang sudah menonton filem akan lebih memahami penyataan tersebut.

Penulis juga berasa kagum dan usaha pembikin filem mengekalkan misteri ‘kelahiran’ entiti jahat yang merasuk mangsa dalam naskhah berkenaan.

Umpamanya, lembaga itu berada di depan kita namun identitinya tidak dibocorkan.

Hasilnya lantas membuatkan audiens terus tertanya-tanya asal-usul makhluk terbabit yang mungkin akan diperincikan dalam sekuel akan datang.

SMILE 2 masih mengangkat kisah sumpahan entiti yang kekal misteri sehingga meragut nyawa namun dengan pusingan plot yang tidak terduga.

Juga ingin diingatkan kepada mereka yang belum menonton (no spoiler), perjalanan filem ini ibarat roller coaster yang apabila sesuatu insiden itu berlaku, visualnya tidak tahu bagaimana untuk berhenti mengepam adrenalin dalam jantung penonton.

Kendatipun, filem ini bukanlah karya yang 100 peratus sempurna. Ada babak atau yang tidak diterjemahkan dengan sebaiknya seperti apa dipertontonkan pada hujung perjalanan filem. Ada kesan khas yang tidak disempurnakan sebaiknya namun tidaklah mencacatkan keseluruhan filem.

Buat sebilangan pihak, apabila frekuensi babak mendebarkan terlalu kerap, hanya akan mengendurkan deras adrenalin yang membuak-buak.

Ada momen begitu dalam Smile 2 namun pengarah bijak menutup kelemahan tersebut dengan tersendiri.

Keseluruhannya, Smile 2 sebuah filem seram yang kemenjadiannya memberi kejutan buat para peminat.

Atas kertas barangkali akan flop (terduduk), namun realitinya karya tersebut memberi dampak tersendiri buat khalayak, khususnya penonton. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok