Tuah ‘cover’ lagu Masing-Masing, Bella Astillah dilamar Ade Govinda

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Itu peribahasa yang paling tepat buat penyanyi dan pelakon sensasi, Bella Astillah apabila dia dilamar oleh komposer Indonesia, Ade Govinda untuk menyanyikan lagu ciptaannya.

Menurut Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah 30, peluang keemasan itu hadir gara-gara lagu Masing-Masing dendangan asal Ernie Zakri yang dinyanyikannya menjadi tular.

“Ade Govinda ada bertanya dengan pihak Universal Music Malaysia tentang saya.

Katanya., dia suka versi ‘cover’ yang saya nyanyikan dan ingin berjumpa dengan saya.

“Insya-Allah saya akan rakamkan lagu baharu tersebut di Jakarta dan akan menjalani penggambaran video muzik di Jogjakarta pada Disember nanti,” katanya kepada HibGlam.

Kongsi Bella lagi, dia ada bertemu Ade Govinda beberapa minggu lalu dan telah mencuba lagu tersebut cuma tinggal untuk dirakamkan dalam studio sahaja.

Sebelum ini Ade Govinda pernah mencipta lagu untuk tiga penyanyi hebat negara iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri dan Aina Abdul. Bella bakal menjadi penyanyi keempat dari Malaysia yang akan menyanyikan lagu sentuhan komposer itu.

Semoga lagu saya nanti mendapat tempat di hati peminat muzik tempatan seperti lagu Masing-Masing. Saya sangat suka dengan lagu Masing-Masing. Semoga ada rezeki untuk saya,” ujarnya.

Terdahulu Bella pernah dikecam kerana sering menyanyikan lagu Masing-masing setiap kali membuat persembahan sehingga ada yang muak.

Namun kata Bella, dia sekadar memenuhi permintaan pihak penganjur yangmembayarnya untuk menyanyikan lagu tersebut dan telah meminta izin daripada Ernie Zakri terlebih dahulu.

Lagu Masing-Masing versi Bella mula mendapat perhatian ramai selepas dia menyanyikannya bersama Adira Suhaimi tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok