MAHU mencabar diri, pelakon Trisha Ooi sanggup menerima watak sebagai hantu untuk filem Susuk Bidadari meski sedar dia seorang individu penakut.
Membawa watak sebagai Seri, Trisha, 23, bagaimanapun sanggup mengenepikan perasaan takut tersebut dan hanya mahu melunaskan tanggungjawab sebagai seorang pelakon.
“Saya ini seorang yang penakut sebenarnya, tetapi tidak letak ketakutan itu sebagai penghalang untuk bekerja.
“Buat masa ini, saya tak fikir sangat perasaan takut itu. Apa yang penting ialah cara untuk sampaikan watak Seri ini kepada penonton.
“Lagi pula ada ramai orang di sekeliling, pihak produksi, kawan-kawan dan keluarga di set penggambaran,” katanya ketika ditemui Kosmo! HibGlam di set penggambaran filem Susuk Bidadari di sini, kelmarin.
Pertama kali memegang watak sebagai hantu dan berlakon dalam naskhah seram, dia terbuka dengan segala kritikan namun berharap orang ramai tidak membanding-bandingkan lakonannya dengan pelakon hebat yang sinonim dengan karakter hantu.
“Kalau orang bandingkan? Saya tak pernah terfikir untuk membandingkan diri dengan pelakon lama.
“Saya memang kagum dengan kebolehan dan kehebatan pelakon senior seperti Maya Karin yang kita tahu dia hebat melakonkan watak hantu dalam filem seram.
“Saya tak pernah bandingkan kebolehan saya dan cuma hanya beri yang terbaik kepada apa yang saya mampu beri. Setakat ini memang ikut hati dan beri jiwa 200 peratus untuk sesuatu watak,” ujarnya.
Selain Trisha, Susuk Bidadari turut membariskan nama-nama besar lain seperti Datuk Rosyam Nor, Che Puan Sarimah Ibrahim dan Alya Iman.
Naskhah terbitan Primeworks Studios dan arahan Faizal Nadxaman itu dijangka bakal ditayangkan pada pertengahan tahun depan. – HIBGLAM.