PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kagum dengan semangat setiakawan artis-artis dari negara sebarang.
Menerusi hantaran dalam InstaStory, Siti yang hadir pada malam gala tayangan perdana filem dokumentari All Access to Rossa 25 Shining Years berkongsi fotonya bersama diva Indonesia itu.
“Kami saling menyokong satu sama lain. Saya sejujurnya ‘salute’ dengan semangat setiakawan artis Indonesia.
“Mereka saling mendukung satu sama lain. Setiap kali ada teman artis buat konsert, mereka akan saling sokong. Malah membeli tiket untuk hadir menonton konsert. Tidak ada istilah cemburu.
“Terima kasih di atas persahabatan ini Rossa,” tulisnya yang menyifatkan Rossa sebagai ‘kembarnya.
Dalam hantaran yang sama, Siti dilihat turut meletakkan nama rakan artis dari Indonesia yang lain termasuk Hetty Koes Endang, Kris Dayanti, Melly Goeslaw, Cakra Khan, Rina Nose, Judika, Raisa dan Ruth Sahanaya.
Sementara itu, Siti sewaktu ditemui Kosmo Online berkata dia berbangga dengan Rossa kerana berjaya menghasilkan filem dokumentari mengenai perjalanan kerjaya seninya selama 25 tahun.
“Filem ini harus ditonton peminat-peminat Rossa dan juga anak-anak seni kerana beliau merupakan seorang legenda yang masih hidup.
“Jika dulu, filem dokumentari biografi dibuat selepas seseorang artis itu telah tiada. Tetapi kini semakin ramai yang buat filem tentang mereka yang masih hidup.
“Saya teruja untuk menonton filem dokumentari Rossa. Mungkin dengan menonton filem ini saya akan mendapat inspirasi mengumpul bahan untuk ulangtahun ke 30 pembabitan dalam industri seni suara tahun hadapan,” katanya.
Selain Siti, majlis tayangan perdana tersebut dihadiri 1,500 tetamu jemputan termasuk kerabat diraja, selebriti popular seperti Fattah Amin, Datuk Adi Putra, Amir Ahnaf dan ahli kelab peminat Rossa di Malaysia.
Filem dokumentari All Access To Rossa 25 Shining Years mula ditayangkan di pawagam tempatan pada 17 Oktober 2024. – HIBGLAM