‘Teruskan bermimpi, kejarlah impian setinggi mungkin’

PELAKON Aedy Ashraf menegaskan tidak salah untuk seorang anak seni generasi muda memiliki angan-angan untuk menggenggam mana-mana trofi anugerah di peringkat lebih tinggi.

Menurut Aedy, mempunyai angan-angan sebegitu amat penting kerana mampu menyemarakkan lagi semangat untuk bekerja lebih keras.

Angan-angan itu sangat penting dan tidak salah untuk memilikinya.

“Teruskan bermimpi dan hasilkan sebuah impian yang setinggi mungkin, pergi mengejarnya,” katanya pada sidang akhbar selepas diumumkan sebagai pemenang trofi Aktor Filem Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) di sini, semalam.

Bintang filem Tebus itu turut memberitahu agar semua individu harus memiliki impian besar dan tidak seharusnya meletakkan sasaran di peringkat yang rendah sahaja.

“Angan-angan itu percuma dan bodoh kalau kita mempunyai sasaran hanya pada peringkat rendah.

Namun, setinggi mana pun mimpi itu, kalau ditakdirkan kita gagal mencapainya dan hanya berjaya menggapai pada tahap tertentu, itu sudah cukup baik serta Alhamdulillah,” katanya lagi.

Semalam, Aedy mengakui terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang trofi Aktor Filem Popular ABP36 selepas 24 tahun bergelar anak seni.

Dalam kategori sama, Aedy mengalahkan pemenang trofi Anugerah Bintang Paling Popular ke-35 iaitu Bell Ngasri dan beberapa nama besar lain seperti Pekin Ibrahim, Kamal Adli dan Syafiq Kyle. – HIGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok