‘Taubat tak mahu jadi penyondol lagi’

PELAKON Julia Farhana mengakui sudah taubat dan insaf menjadi penyondol dalam drama.

Menurut Julia atau nama lengkapnya Julia Farhana Marin, 30, kini dia tidak akan melakonkan lagi watak dibenci ramai itu kerana sudah berkali-kali melakukannya.

Cukuplah. Saya sudah pun berkahwin. Saya dah taubat, dah insaf. Tak mahu jadi penyondol lagi dalam drama.

“Sudah bertahun-tahun saya jadi penyondol dalam drama. Dulu dalam setahun ada empat ke lima drama saya lakonkan watak penyondol,” katanya ketika ditemu pada pelancaran koleksi tudung terbaru Rizman Ruzaini, semalam.

Sambung isteri kepada Dr. Che Hafiz itu, meski sudah berhijab tawaran menjayakan watak penyondol masih ada sehingga ke hari ini.

“Saya rasa saya perlu hentikan situasi ini supaya karier berkembang. Namun, itu bukan bermakna saya nak menolak rezeki.

Di awal pembabitan dulu memang saya sasar nak bawa watak antagonis. Alhamdulillah watak sebegitu banyak membantu memperkenalkan nama saya dalam dunia lakonan.

“Tetapi kini sudah sampai masa saya lebihkan watak protagonis. Syukur, lakonan saya dalam filem Coast Guard Malaysia : Ops Helang diterima ramai. Itu petanda yang sangat baik,” ujarnya.

Tambah Julia lagi, dia kini mula berjinak-jinak dalam bidang penerbitan dan bercadang menjayakan naskhah yang diterbitkan sendiri kerana lebih mudah bawa watak idaman.

Dalam perkembangan lain, Julia bakal menjalani latihan amali di sebuah hospital tidak lama lagi dalam bidang psikologi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok