‘Takut nak kahwin, Zara Zya wanita terbaik’

 

“SEJUJURNYA Zara Zya adalah antara wanita terbaik yang pernah hadir dalam hidup saya.” 

Itulah reaksi pelakon Hafreez Adam tatkala mengimbau semula ikatan pertunangan dengan pelakon Zara Zya yang hanya terjalin sekitar sebulan sahaja. 

Membuka lipatan sejarah yang tersimpan rapi mengenai episod suram yang berlaku sekitar 2019 silam, Hafreez atau nama lengkapnya Hafreez Adam Aizat Zahalan, 34, tidak meletakkan kegagalan pertunangan tersebut di bahu sesiapa. 

Percaya hukum rezeki, Hafreez yakin suatu hari nanti dia akan dipertemukan dengan wanita yang sepadan dengan jiwanya sesuai izin Tuhan. 

“Waktu saya dengan Zara putus tunang dahulu, kami berbincang selama berjam-jam bagi membuat pertimbangan sehabis baik dan saling tidak menyimpan dendam antara satu sama lain. 

“Saya datang daripada keluarga yang ibu bapa berpisah. Jadi saya tidak  mahu anak-anak menjadi mangsa.  Saya juga tidak mahu apabila sudah berumah tangga, ada antara kita yang saling berubah hati dan bercerai. 

“Sekiranya perceraian itu berlaku hanya melibatkan dua individu saya tidak menjadi masalah. 

“Tetapi bagaimana jika ada anak-anak, mereka perlu melalui fasa perceraian ibu bapa dan gangguan emosi termasuk tekanan masyarakat,” hurainya dengan penuh perasaan. 

Trauma masa kecil

 Meneliti bicaranya, Hafreez enggan membenarkan apa yang pernah dilaluinya sebelum ini turut dirasai anaknya jika mereka mempunyai cahaya mata kelak. 

“Bapa saya melalui fasa beberapa kali gagal dalam perkahwinan. Itu juga antara punca saya takut untuk berkahwin kerana bimbang orang akan samakan kehidupan ayah dengan saya. 

“Sebolehnya perkara itu yang paling saya mahu elakkan,” ujarnya. 

Malah, saat hadir ke acara Anugerah Skrin pada November 2019 lalu, Hafreez dan Zara mendedahkan mereka sudah lebih sebulan putus tunang. 

HAFREEZ menjalani pendidikan secara sekolah di rumah sejak berusia 12 hingga 17 tahun. – Penata gaya NANA CHAH

Bagi mengurangkan kerisauan, dia juga mengunyah gula-gula getah sepanjang acara terlangsung kerana bimbang ada khalayak yang bertanyakan tentang perancangan perkahwinan mereka. 

“Sepanjang acara berlangsung saya memang gementar. Bimbang jika ada yang mengetahui bahawa kami sudah putus tunang. Saya memang tidak boleh fokus di majlis,” katanya. 

Mencari cinta

Meskipun sebelum ini sudah beberapa kali gagal mengakhiri hubungan ke jenjang pelamin, Hafreez bagaimanapun tidak patah semangat atau jemu dalam mencari cinta baharu. 

Pernah bercinta dengan beberapa wanita termasuk pelakon Azar Azmi, Hafreez mencari pasangan yang bukan sahaja dapat menerima dia seadanya, tetapi mampu menjaga hubungan baik dengan keluarganya. 

“Bukan menolak komunikasi, tetapi saya bukan jenis yang suka ‘bergayut’ berjam-jam untuk berbual. 

“Cukup sekadar bertanya khabar dan berkongsi cerita penting apa yang berlaku pada hari itu. Bukan sepanjang masa perlu keluar bersama atau menelefon. 

“Saya pula jenis yang suka duduk di rumah dan menghabiskan masa dengan keluarga. 

“Jika ingin keluar ‘dating’ juga perlu  bawa bersama adik atau kakak. Saya tidak pernah keluar berdua dengan kekasih saya,” jelasnya. 

Mengakui berasa seronok sekiranya mempunyai pasangan, Hafreez tidak menafikan akan terhimpit rasa bosan untuk berada dalam fasa mengenali.  

PRIHATIN dengan masalah kesihatan mental, Hafreez bersama dua individu lain merancang untuk membangunkan aplikasi bernama Hati Hotel sebagai tempat untuk masyarakat berkongsi cerita dan mendapatkan khidmat nasihat. – Solekan FEIRUZ SOHOR

Tempoh tersebut bukan situasi yang digemari Hafreez kerana dia perlu berkongsi semula cerita tentang dirinya daripada awal dengan pasangan baharu. 

“Saya tidak pernah jemu untuk mengenali sesiapa cuma kadangkala ada rasa penat kerana perlu menceritakan semula tentang diri saya dari awal. 

“Tidak dinafikan senang untuk bercinta dengan sesama pelakon kerana sudah saling memahami lebih-lebih lagi soal kerjaya. 

“Tetapi elok juga bercinta dengan wanita yang bukan selebriti kerana khalayak tidak mengetahui apa-apa. 

“Jika bercinta dengan artis, apa yang yang dikongsikan dalam media sosial tentu akan dikaitkan dengan saya. Itu merimaskan,” katanya. 

Sekolah di rumah 

Cukup panjang lebar bercerita tentang hubungan percintaan, navigasi Hafreez kemudian beralih kepada zaman kanak-kanak yang membuatkan dia jatuh cinta kepada kesenian. 

Sejak usia tujuh hingga 11 tahun, Hafreez sebenarnya mendapat pembelajaran sama seperti kanak-kanak lain di sekolah. Namun, atas sebab yang terlalu peribadi untuk dikongsikan, dia terpaksa mendapat pendidikan di rumah (home schooling). 

Biarpun mulutnya menutup rapat-rapat, Hafreez memberitahu perceraian orang tuanya sedikit sebanyak menjadi penyebab dia perlu menjalani proses pembelajaran di rumah. 

“Memandangkan hanya belajar di rumah, saya cenderung memiliki sikap introvert dan takut berkomunikasi dengan orang lain. 

“Duduk di rumah membuatkan saya sangat meminati aktiviti seni seperti melukis dan mengambil gambar,” tuturnya lembut. 

Bermula dengan minat merakam gambar, kecintaan itu yang membuka jalan untuk Hafreez menceburi bidang seni. 

Dia mula menceburi bidang peragaan setelah mendapat sokongan daripada rakannya yang kini menjadi pengasas produk kosmetik popular iaitu Anas Zahrin. 

“Waktu Anas aktif sebagai jurugambar dia telah meminta saya untuk mencuba nasib sebagai model. 

“Saya bekerja sebagai model dan menyertai pertandingan Hero Remaja 2011/2012 dan seterusnya masuk ke bidang lakonan,” terangnya. 

Minatnya itu lantas menjadi titik awal Hafreez mencipta nama sebagai anak seni yang kini sudah memasuki tahun ke-10. Dia juga bakal muncul dengan filem baharu bertajuk Gantung pada tahun depan. 

Hati Hotel

Selain kisah putus tunang, minda khalayak turut teringatkan tentang perkongsian Hafreez yang mengalami kemurungan sejak 2013. 

Kata Hafreez, bukan hanya kesihatan fizikal yang perlu dijaga, tetapi kesihatan emosi dan mental turut menjadi satu perkara penting yang perlu dipelihara. 

Disebabkan pernah berada dalam situasi begitu, Hafreez bersama dua rakannya mengambil pendekatan untuk menghasilkan aplikasi dipanggil Hati Hotel. 

Berfungsi sebagai medan perkongsian, Hati Hotel masih berada dalam peringkat awal. 

“Kita namakan sebagai Hati Hotel bagi menghapuskan stigma negatif tentang kesihatan mental. 

“Ramai antara kita tidak bijak mengatasi masalah emosi dan mental. Golongan lelaki terutamanya kurang mempamerkan emosi mereka kerana masyarakat sering mengatakan, lelaki tidak boleh menangis dan perlu kuat. 

“Perkara begitu mengakibatkan lelaki lebih memilih memendam perasaan,” ujarnya. 

Tambah Hafreez, lebih setahun dia berusaha untuk mewujudkan impian ‘menghidupkan’ aplikasi Hati Hotel. 

“Kami merancang aplikasi ini boleh digunakan secara percuma termasuk perkhidmatan nasihat daripada barisan pakar perubatan. 

“Setiap kongsikan itu akan dirahsiakan identiti mereka, manakala cerita mereka itu akan dikongsikan di media sosial. Tujuan, kerana ingin khalayak tahu bahawa bukan mereka saja yang mengalami masalah,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok