‘Tak ambil hati, saya Zynakal bukan Zayn Malik’

WAJAH pernah dihina, penyanyi Zynakal mengakui tidak ambil hati sebaliknya akur berdepan kenyataan yang membuatkannya sentiasa sedar diri.

Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, 26, lebih bersyukur apabila terlibat dalam arena nyanyian yang mempertaruhkan suara berbanding rupa.

Sejujurnya saya tidak ambil hati orang kritik wajah saya sebab betul juga apa dikatakan. Sekurang-kurangnya saya sedar saya bukan Zayn Malik, saya Zynakal.

“Lagipun saya bersyukur berada dalam bidang muzik dan bukannya lakonan sebab imej penting memandangkan perlu keluar televisyen.

“Muzik pula orang lebih cenderung mendengar daripada melihat wajah sebab itu saya tak marah apa yang orang katakan,” katanya kepada HibGlam semasa sidang media Futureland Festival di Stadium Merdeka Kuala Lumpur, semalam.

Dalam masa sama, pelantun lagu Sendiri itu menganggap kata-kata orang sebagai pendapat terbuka kerana pernah melalui perkara sama sebelum ini.

Saya tak kisah sebab zaman sekarang rakyat ada hak bersuara jadi biarlah apa orang nak cakap.

“Malah, saya pula pernah lalui perkara sama sejak dahulu lagi. Jadi, saya anggap orang hanya berikan pandangan peribadi mereka sahaja,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Zynakal pernah menerima komen daripada seorang pengguna Instagram menyatakan dia tiada rupa tetapi memiliki suara dan lagu yang hebat.

Dalam perkembangan lain, Zynakal bakal beraksi dalam konsert Futureland Festival di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 23 November depan.

Konsert Futureland Festival merupakan kerjasama Watsons Malaysia dan Warner Music yang turut menampilkan Hujan, Kugiran Masdo, Bunkface, Aina Abdul, Syamel, Tuju, Fimie Don, Amsyar Lee dan Ayda Jebat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok