PELAKON Sherry Ibrahim menuai perhatian ramai apabila menitipkan kata-kata semangat buat aktor yang juga bekas kekasihnya, Fattah Amin hari ini.
Sherry atau nama Syarizad Ibrahim, 41, berkata, Fattah perlu terus tabah dalam melalui dugaan hidup ketika ini.
Tabahkan hati, terima takdir yang telah ditentukan dan bangkit untuk mulakan hidup yang baru.
“Kuatkan diri demi Fatima Aisya, ibu , ayah dan adik-adik yang sentiasa ada di sisi,” katanya dalam Instagram hari ini.
Katanya, kehidupan ketika ini sememangnya tidak seperti diharapkan namun perlu diteruskan dengan penuh ketabahan.
Perjalanan hidup ini tidak mudah tapi dengan ketabahan, insya-Allah pasti akan membuka jalan untuk masa depan yang lebih baik.
“Teruskan maju ke hadapan dan semoga semua urusan awak, Abdul Fattah Amin dipermudahkan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Sherry dan Fattah pernah bercinta sekitar 2014 sebelum mengesahkan hubungan tersebut putus pada 2016.
Hari ini, selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga, Fattah menceraikan Fazura dengan talak satu di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Sole di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari sekitar pukul 9.45 pagi.
Mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan aktres berkenaan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Fattah dan Fazura yang mendirikan rumah tangga pada 2017 mempunyai seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, 4. – HIBGLAM