‘Soal Bayaran terpulang bagaimana mereka menilai saya’

PELAKON Hun Haqeem tidak mampu menutup mulut pihak yang beranggapan bayarannya semakin meningkat selepas memenangi trofi Aktor TV Popular, Anugerah Bintang Popular ke-36 baru -baru ini.

Hun atau nama sebenarnya, Haqeem Hermy, 26, berkata, sebagai pelakon dia mengakui bayaran faktor penting untuknya menerima sesebuah tawaran namun menjanjikan komitmen yang diberikannya juga setimpal.

“Berkenaan skeptikal bayaran akan mahal selepas menang, orang boleh berfikir begitu.

Apa yang saya janjikan, apabila ditawarkan untuk membintangi sesebuah naskhah, saya akan pastikan lakonan berbaloi dengan bayaran.

Apabila sudah bersetuju menerima tawaran, saya akan serahkan segalanya termasuk ‘my soul’. Itu yang saya janjikan.

“Mereka yang pernah bekerjasama dengan saya tahu betapa komitednya saya terhadap kerja,” kata Hun.

Hun berkata demikian ketika ditemui di sidang media drama terbitan Viu, From Saga With Love musim kedua yang berlangsung di TRX, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas anak kelahiran Kuching Sarawak itu lagi, meski tidak memenangi anugerah tersebut dia tetap akan memberikan sepenuh jiwa raga dalam mana-mana naskhah dibintangi.

“Saya rasa nilai saya sama sahaja. Sama ada menang anugerah atau tidak, saya sentiasa mahu berikan yang terbaik dalam karya serta lakonan.

Soal harga, itu bergantung kepada tawaran yang diberikan, terpulang kepada pihak yang memberi tawaran untuk meletak nilai atas diri saya,” tutur Hun.

Berkongsi perkembangan kerjaya seninya, Hun berkata, 2025 bakal menjadi tahun yang mencabar dengan pelbagai karya menarik.

“Insya-Allah tahun depan akan menjadi tahun yang indah dan menarik untuk saya. Di mana ada karya yang bagus, di situ saya akan berada.

Saya suka melihat karya-karya Allahyarham Yasmin Ahmad yang membuatkan saya ingin menjadi seorang pelakon. Jadi, sudah tentu saya mengutamakan jalan cerita bagus berbanding soal bayaran.

“Selain itu, saya juga akan ke terbang ke Jepun untuk acara pembukaan kedai Levi’s. Kemudian saya akan mula mempromosikan filem Game Of Life sekitar awal tahun depan,” jelas Hun.

Terdahulu, Hun dinobatkan sebagai Aktor TV Popular di Anugerah Bintang Popular ke-36 sekali gus menewaskan empat pencabar lain iaitu Meerqeen, Aedy Ashraf, Amir Ahnaff dan Redza Rosli. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok