Sijil kemahiran, lesen teknikal nilai tambah bintang kimchi

KALAU sebut sahaja selebriti, dalam kepala khalayak, pastinya kehidupan mereka hanya diisi dengan kerja-kerja seni, sama ada menyanyi, berlakon atau menari.

Ada juga selebriti yang tidak kurang hebat dalam bidang pendidikan sehingga mampu mengenggam ijazah dari universiti.

Malah, siapa sangka ada juga selebriti yang memiliki sijil kemahiran lain bagi nilai tambah dalam diri mereka.

Kali ini, Daebak sajikan beberapa artis Korea Selatan yang mempunyai sijil kemahiran selain berbakat dalam industri hiburan.

Kim Tae-hee

SESETENGAH selebriti mungkin berhasrat mendapatkan sijil atau lesen bagi memenuhi kecintaan atau meningkatkan kemahiran peribadi.

Situasi berbeza berlaku kepada pelakon Kim Tae-hee semasa mahu mendapatkan lesen selam skuba. Semuanya berlaku secara tidak sengaja semasa dia sedang bercuti.

Sebenarnya, isteri kepada pelakon Rain itu berdepan ketakutan terhadap air selepas terjatuh semasa penggambaran.

Jadi, bagi mengatasi ketakutan, rakan baiknya, Lee Hanee mencadangkan dia mendapatkan lesen selam skuba.

Lee Byung-hun

BUKAN lagi rahsia bahawa pelakon Lee Byung-hun merupakan seorang pencinta kopi.
Menerusi satu laporan media, selepas penggambaran filem, I Saw The Devil pada 2010, lama Le Byung-hun berehat daripada dunia lakonan. Dalam tempoh tersebut, dia memutuskan untuk meningkatkan minatnya terhadap kopi ke peringkat seterusnya dengan menjadi barista bertauliah.
Byung-hun membancuh kopi setiap pagi dan memastikan membawa minuman buatannya sendiri sebelum keluar rumah.

Minah

ANGGOTA kumpulan Girls Day, Minah mendapat lesen untuk mengendalikan jentera berat selepas menyertai rancangan realiti membina rumah, Eco Village.

Dengan lesen mengendalikan jengkaut, dia menggunakan kemahirannya untuk membina rumah dalam rancangan tersebut.

Semasa mempersiapkan diri untuk peperiksaan lesen jengkaut, dia memuat naik gambar sedang belajar sambil memaklumkan perasaannya seperti seorang pelajar sekolah.

Seo Ye-ji

SEBUT sahaja pelakon Seo Ye-ji, rata-rata peminat teringatkan lakonan hebatnya dalam drama It’s Okay Not Be Okay.

Namun, siapa sangka wanita berusia 34 tahun itu sebenarnya memiliki lapan sijil kemahiran antaranya pendidikan seks, origami dan seni meniup belon.

Untuk pendidikan seks, Ye-ji mengambil sijil berkenaan kerana ingin mendapatkan kefahaman mendalam tentang seks dalam kehidupan.

Misalnya, apabila dia mempunyai anak suatu hari nanti dia berharap dapat mengajar mereka tentang seks dengan cara berhemah.

Dalam masa sama, Ye-ji turut memiliki sijil pembuatan origami kerana itu merupakan sebahagian daripada hobi yang dilakukannya ketika berasa tertekan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok