SETAHUN cuti panjang setelah terpalit kontroversi liar, penyanyi Seunghan mengejutkan ramai peminat apabila mengumumkan akan kembali menjadi sebahagian anggota kumpulan Riize.
Berita gembira itu turut disahkan agensinya, SM Entertainment yang berharap peminat dapat memberikan sokongan sepenuhnya terhadap artis terbabit.
Rata-rata peminat meluahkan rasa gembira dan tidak sabar untuk melihat idola mereka itu kembali beraksi bersama Riize.
“Tak sangka dia akan kembali lagi, jangan risau kami akan sokong awak sampai ke akhirnya,” komen seorang netizen.
“Saya sangat gembira untuk Seunghan dan berharap dia kembali bersinar dengan Riize,” tulis seorang peminat.
Pada November tahun lalu, nama idola berusia 21 tahun itu meledak dalam media sosial gara-gara fotonya menghisap rokok di tempat awam ketika berada di Jepun tular.
Bukan itu sahaja, gambar Seunghan bercium dengan seorang wanita juga menjadi bualan hangat sehingga menimbulkan rasa kurang senang peminat.
Rentetan itu, Seunghan mengambil keputusan untuk berundur seketika. – HIBGLAM