MESKI sudah bercerai dengan bekas suami, Nedim Nazri, pelakon jelita Nora Danish masih belum terbuka hati untuk mencari pengganti.
Sungguhpun begitu, Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd Danish Hanif, 42, mengaku ramai lelaki cuba mendekatinya terutama selepas dia mengenakan hijab.
Sejak saya berhijab ramai pula ya (yang cuba mendekati). Kawan-kawan dan orang jauh ada yang cuba mendekati tetapi saya kata bukan sekarang,” kata Nora.
Sambung Nora, fokusnya kini adalah untuk mendekatikan diri dengan Allah dan belum masanya untuk berfikir soal mencari teman hidup.
Buat masa sekarang memang tidak lagi sebab baru sangat (bercerai). Lagipun saya dalam fasa hendak berhijrah, jadi fokus lebih ke arah itu,” tutur Nora.
Ketika disoal tentang bekas suaminya Nedim yang dilihat seolah-olah masih berharap untuk mereka kembali bersama, kata Nora perceraian bukanlah perkara kecil jadi perlu mengambil masa untuk menerimanya.
Saya tidak boleh bercakap bagi pihaknya. Tetapi saya rasa dia pun sudah boleh menerima (perceraian) sekarang. Dia bukan tidak boleh terima, tetapi perkara ini mengambil masa.
“Insya-Allah saya berdoa agar dia meneruskan kehidupannya seperti biasa,” jelas Nora.
Dalam pada itu, meskipun Nora dan Nedim telah berpisah hubungan mereka kekal baik sehingga ke hari ini.
Saya daripada dahulu percaya walaupun tidak boleh bersama tetapi hubungan itu harus kekal baik kerana kita ada anak bersama.
“Sudah tentu kita manusia biasa ada persengketaan dan perselisihan faham tetapi saya sedaya upaya cuba untuk berdamai,” tutur Nora yang ditemui pada majlis pelantikan Abby Abadi sebagai duta produk Berryfull Honey Lemon baru-baru ini.
Terdahulu Nora dan Nedim Mohamad Nazri, 41, bercerai pada Jun lalu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl, 6.
Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan memiliki anak lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008. – HIBGLAM