MEMBUAT kejutan sebagai pemilik kelab bola sepak, pelakon Sharnaaz Ahmad mengakui usaha menubuhkan Carabat FC adalah disebabkan anaknya, Jebat Jayden.
Sharnaaz atau nama lengkapnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 39, berkata, putera tunggalnya itu meminati sukan bola sepak serta bintang dunia, Cristiano Ronaldo.
“Perkara yang betul-betul menjentik hati saya untuk tubuhkan sebuah kelab bola sepak adalah anak saya, Jebat Jayden.
Saya nampak yang dia betul-betul minat Cristiano Ronaldo, nasib baik dia tak minta tukar nama dia jadi Jebat Ronaldo.
“Alhamdulillah, dia memang minat bahkan dia yang lebih terjerit-jerit di tepi padang berbanding saya,” katanya ketika ditemu bual dalam sebuah program televisyen.
Pada 17 Oktober lalu Carabat FC menerusi hantaran dalam Instagram mengumumkan pelakon Polis Evo 3 itu sebagai pemilik kelab yang bakal merealisasikan visi dan misi sepanjang penyertaan di Liga Selangor (FAS League).
Kelab amatur itu ditunjangi pemain muda yang menyediakan platform untuk indvidu berpotensi besar mempamerkan Skil serta kebolehan mereka.
Menerusi semakan, pelakon Rita Rudaini menjadi selebriti wanita pertama di negara ini menubuhkan kelab bola sepak pada 2018.
Pelakon filem itu merealisasikan RR Cougars FC selepas dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna menunjukkan minat mendalam terhadap sukan bola sepak.
Ketika itu kelab terbabit disertai pemain berusia antara lima sehingga 10 tahun yang turut didedahkan dengan perlawanan antara pasukan.- HIBGLAM