‘Saya dibesarkan sendirian, bapa meninggal dunia masa kecil’

Tampak diulit kesempurnaan, hakikatnya kehilangan bapa sejak berusia 12 tahun membuatkan pelakon Nora Danish tidak pernah merasai suasana dalam sebuah keluarga lengkap dan bahagia.

Ujar Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif, 42, perkara tersebut membuatkan kehidupannya terasa kosong tanpa dapat melihat figura bapa sebagai contoh.

“Saya tak pernah tengok keluarga yang betul-betul bahagia kerana bapa meninggal dunia ketika saya masih kecil.

“Jadi, saya dibesarkan ibu saya sendirian bersama kakak-kakak saya.

“Saya tak pernah tengok macam mana figura bapa dan ibu saya dijaga seorang suami. Tiada, depan mata saya kosong,” katanya dalam sebuah audio siar.

Bagaimanapun, Nora memasang impian menjaga keluarga dengan lebih baik selepas mempelajari pelbagai ilmu dan belajar dari pengalaman.

“Saya tak kata saya ini isteri yang baik, jauh sekali.

“Tetapi itulah, mungkin kalau saya belajar dengan lebih lanjut, saya dapat mengendalikan perkahwinan saya dengan lebih baik dan sempurna,” jelasnya.

Dalam masa sama, pelakon filem Polis Evo itu mengharapkan hidup dalam keadaan tenang dan selesa tanpa mengejar kekayaan.

“Kalau dulu ketika kanak-kanak, nak jadi kaya dan nak bagi ibu saya hidup senang tetapi sekarang, jujur saya rasa kekayaan bukanlah benda pertama yang saya cari.

“Saya cuma nak hidup selesa, boleh pergi ke mana yang saya nak. Bila hati mendapat ketenangan, pergi Perhentian (pulau) pun awak dah rasa bersyukur.

“Ketenangan itu yang saya mahukan. Saya cuma nak hidup dengan tenang,” jelasnya.

Sebelum ini, Nora dan bekas suaminya, Nedim Nazri bersetuju berpisah secara baik menerusi prosiding di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl yang kini berusia enam tahun.

Nora juga pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok