Salah sebut nama ‘Tokti’ sebab gugup – Sharif

TERSALAH sebut nama penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dianggap sebagai kesilapan biasa oleh pelawak Sharif yang mengacarakan rancangan Famili Duo musim keempat (FD4), kelmarin.

Kata Sharif, 34, menerima maklumat daripada pihak produksi menerusi alat komunikasi (earpiece) secara tiba-tiba membuatkannya berasa guguk sehingga berlaku kesilapan.

“Mungkin ramai tidak tahu saya masih ‘hijau’ sebagai pengacara dan apabila menerima input tiba-tiba di atas pentas, saya jadi gugup.

“Bagi saya benda itu perkara biasa. Kalau ditanya kepada mana-mana pengacara apabila dapat maklumat penting, mereka akan terkial-kial untuk mencari kata yang sesuai untuk diucapkan. Lagipun saya ini pelawak, jadi bagi saya itu perkara biasa,” katanya.

Insiden itu berlaku ketika Sharif mahu memperkenalkan gandingan Tomok dan Shahrul Kamal yang mempersembahkan lagu Cindai nyanyian Siti Nurhaliza ketika beraksi pada konsert minggu kedua FD4.

Sebagai wajah baharu mengacarakan program tersebut, Sharif mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajarinya termasuk berusaha menyesuaikan diri di atas pentas.

Ujar pemilik nama lengkap Sharif Kadir Doli Sharif itu lagi, setiap kritikan dan kecaman netizen dianggap sebagai pembakar semangat untuk buat lebih baik sepanjang program tersebut berlangsung.

“Pada minggu pertama lagi saya sudah terima banyak komen. Ada yang beri semangat, ada juga mengecam termasuk mengatakan saya tidak sesuai jadi pengacara.

“Saya tak ambil pusing sebab sudah lali dengan kecaman netizen. Kritikan mereka itu ibarat cubit, jentik pun tidak terasa sakit sebab saya ini kebal dengan kecaman. Apa pun mereka kata, saya akan buktikan yang saya boleh mengacara dengan lebih baik,” katanya.

Sekadar info, FD4 membariskan gandingan penyanyi popular tanah air dengan ahli keluarga iaitu Zahid dan Anne (adik-beradik), Tomok dan Shahrul Kamal (sepupu), Shiha Zikir dan Ieda Zikir (adik-beradik), Ayie Elham dan Salma Asis (sepupu), Didi Astillah dan Thamerah Chan (sepupu) serta Naqiu dan Joey Daud (sepupu).

Duo juara mingguan akan memenangi hadiah RM10,000 setiap minggu bagi tujuh episod manakala juara pentas akhir FD4 akan menerima ganjaran wang tunai berjumlah RM100,000. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok